BELANJAWAN 2025 > BERITA

Solidariti Gaza: Ribuan Beruang Teddy Warnai Dataran Merdeka

22/08/2025 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Sebagai simbol solidariti terhadap lebih 18,000 kanak-kanak yang terkorban di Gaza akibat kekejaman berterusan, ribuan beruang teddy akan dihimpunkan membentuk  peta Palestin terbesar di Dataran Merdeka hujung minggu ini.

Sumud Nusantara dalam hantaran di akaun Facebook rasminya memaklumkan kempen berkenaan, yang diadakan sempena Karnival Sumud Nusantara, bertujuan mengingatkan dunia tentang penderitaan kanak-kanak tidak berdosa selain mengumpul dana bagi misi kemanusiaan Gaza.

Kempen itu, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif bersejarah, mengajak orang ramai membawa atau membeli beruang teddy untuk diletakkan dalam formasi sebagai simbol kasih sayang serta mesej solidariti daripada rakyat Nusantara kepada dunia.

“Setiap teddy bear yang anda bawa atau beli bukan sekadar patung mainan, tetapi lambang cinta, doa, dan solidariti kita bersama mereka yang telah pergi,” menurut hantaran itu. 

Sebahagian hasil jualan teddy bear akan disalurkan ke dalam usaha bantuan kemanusiaan di Gaza, termasuk menyediakan keperluan asas kepada penduduk yang terjejas serta memberi harapan dan sokongan kepada rakyat Palestin.

Acara kemuncak kempen itu akan berlangsung pada 24 Ogos (Ahad) di Dataran Merdeka dengan penganjur menyasarkan rekod jumlah beruang teddy paling banyak diletakkan di atas peta sebagai simbol solidariti dan suara lantang untuk Gaza.

Kempen ini menggalakkan penyertaan semua lapisan masyarakat, dengan orang ramai yang berminat boleh menyumbang serta mendapatkan maklumat lanjut melalui akaun Facebook Sumud Nusantara.

Selain itu, lebih 2,000 peserta dijangka menyertai Konvoi Darat Sumud Nusantara yang memulakan perjalanan hari ini dari seluruh negara menuju ke Dataran Merdeka bagi menghadiri Malam Himpunan dan Selawat - MalaysiaKu Bersama Gaza pada Ahad.

Lebih 1,000 kenderaan dari seluruh negara serta lapan negara luar turut akan menyertai konvoi solidariti itu, membawa bendera Palestin menuju ke Dataran Merdeka bagi mewujudkan panorama perpaduan yang jarang disaksikan di tanah air.

“Inilah saatnya kita buktikan bahawa rakyat Nusantara tidak pernah berdiam diri melihat penderitaan Gaza. Dari Utara, Selatan, Pantai Timur dan Tengah, ribuan kenderaan akan bergerak menuju ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Konvoi Darat Sumud Nusantara akan merentasi negeri-negeri dengan semangat perjuangan, membawa mesej jelas kepada dunia, cukup sudah diam, cukup sudah kepungan. No More Silence. No More Siege,” menurut kenyataan itu.

Malam Himpunan dan Selawat - MalaysiaKu Bersama Gaza merupakan acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos, anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).

Acara berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara serta bakal disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan