BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jurutera Perlu Terus Berinovasi Hadapi Cabaran Kejuruteraan Masa Depan - Fadillah

23/08/2025 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jurutera di negara ini perlu terus berinovasi dan bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran kejuruteraan masa depan termasuk berkaitan perubahan iklim, pembangunan mampan serta keperluan teknologi baharu.

Beliau juga berkata jurutera perlu memainkan peranan penting dalam mencipta teknologi serta penyelesaian tempatan bagi mengurangkan pergantungan kepada teknologi luar dan bukan sekadar berfungsi melaksanakan projek pembangunan.

“Apa yang perlu kita hadapi (lakukan) pada masa ini ialah melihat masa depan... apakah cabaran yang bakal kita hadapi dan sedang kita hadapi, dan apakah keperluan yang ada pada kita, yang sedia ada dan juga jurutera-jurutera pada masa akan datang,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penganugerahan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) 2025 di sini malam ini.

Turut hadir Presiden LJM Datuk Roslan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj.  

Fadillah berkata perubahan iklim, cuaca tidak menentu, banjir, bencana alam dan kekurangan sumber air merupakan antara cabaran utama yang memerlukan penyelesaian inovatif serta perancangan kejuruteraan mampan.

Beliau berkata justeru itu, kerajaan turut menekankan pembangunan ekonomi digital dan kerangka Malaysia MADANI yang memerlukan jurutera memainkan peranan penting dalam memastikan setiap projek dibangunkan dengan ciri kelestarian serta mampu menampung cabaran alam sekitar.

Mengambil contoh projek loji rawatan air Langat 2 di Selangor bernilai RM8 bilion, Fadillah berkata kejayaan projek itu adalah bukti kemampuan profesional tempatan dalam melaksanakan projek berskala besar dengan baik.

Beliau berkata walaupun Malaysia sudah memiliki teknologi tempatan, masih banyak usaha diperlukan bagi menghasilkan lebih banyak inovasi, penemuan dan produk baharu agar negara menjadi pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna.

“Sebab itu dalam konteks MADANI juga, antara terasnya ialah kita kena jadi pencipta… di sinilah peranan kita sebagai jurutera... tapi saya kira banyak lagi yang perlu kita lakukan supaya kita boleh menjadi negara pencipta, bukan lagi pengguna,” katanya.

Fadillah turut menggesa jurutera muda untuk meningkatkan penglibatan dalam penyelidikan dan pembangunan serta memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan bagi menghasilkan penyelesaian inovatif untuk cabaran kejuruteraan semasa dan pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Pengasas Kumpulan Penyelidikan Komposit Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia Profesor Ir Mohd Sapuan Salit dan Pemangku Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia Dr Syuhaida Ismail menerima Anugerah Sebutan Khas Kejuruteraan Antarabangsa 2025.

Mohd Sapuan adalah penerima Anugerah The World Academy of Sciences 2024 dalam bidang Sains Kejuruteraan sebagai pengiktirafan antarabangsa atas sumbangan beliau dalam pembangunan bahan komposit berasaskan serta semula jadi tropika.

Syuhaida pula adalah penerima Anugerah WFEO GREE Women in Engineering 2024 daripada Persekutuan Kejuruteraan Sedunia sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan kepimpinan wanita dalam bidang kejuruteraan.  

Naib Canselor termuda Universiti Teknologi Malaysia dan Ketua Setiausaha di beberapa kementerian utama Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang pula menerima Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2025 manakala jurutera profesional Alex Looi Tink Huey dianugerahkan Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2025. 

Bernama turut terima penghargaan bagi kategori media di majlis tersebut.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan