Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia mempergiat usaha menjadi hab serantau bagi pelancongan perubatan dengan merancang untuk memasuki pasaran Kemboja menjelang penganjuran “Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia” pada 2026.
Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menampilkan negara ini sebagai destinasi utama di Asia Tenggara dengan menawarkan ekosistem penjagaan kesihatan yang menyeluruh, menggabungkan rawatan mampu milik, teknologi perubatan canggih dan harga kompetitif.
Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi MHTC Lokman Izam Abd Aziz berkata Kemboja mempunyai potensi besar, dengan jumlah pesakit dari negara itu ke Malaysia meningkat 15 peratus tahun lalu berbanding 2023.
“Penjagaan kesihatan bukan sekadar rawatan, tetapi soal kepercayaan, keselesaan dan ketenangan fikiran. Kami mahu menjadikan perjalanan ini mudah. Malaysia bersedia menyambut anda dan keluarga.
“Kami bukan sahaja menyediakan rawatan perubatan canggih, tetapi juga satu perjalanan penyembuhan,” katanya ketika melancarkan siri jelajah MHTC di Phnom Penh pada Khamis.
Tahun lalu, lebih 3,600 rakyat Kemboja datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Secara keseluruhan, Malaysia menarik kira-kira 1.6 juta pelancong perubatan antarabangsa pada 2024, menyumbang RM2.7 bilion kepada hasil negara, menurut MHTC.
MHTC bersama Institut Jantung Negara (IJN), Sunway Healthcare Group, KPJ Healthcare Berhad dan Optimax Eye Specialist Centre kini mengadakan siri jelajah untuk mempromosi perkhidmatan kesihatan kepada pasaran Kemboja.
Program empat hari bertemakan “Bridging Border: Unlocking World-Class Healthcare in Malaysia for Cambodians” itu turut menampilkan sesi ceramah “Navigating Women’s Healthcare in Malaysia” pada Rabu.
Sementara itu, Setiausaha Negara Kementerian Kesihatan Kemboja Dr Sung Vinntak berkata program berkenaan melangkaui hubungan tradisional dua hala antara kedua-dua negara.
“Ia bukan sahaja platform untuk penjagaan kesihatan tetapi mencerminkan komitmen bersama Kemboja dan Malaysia.
“Malaysia memiliki perkhidmatan perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan model kejayaan dalam bidang kesihatan, manakala Kemboja boleh mendapat manfaat daripada kepakaran perubatan serta pemindahan teknologi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial