BELANJAWAN 2025 > BERITA

Unity Group, Tek Securities Perkenal Sukuk Iklim RMB200 Juta Bagi Biaya Inisiatif Hijau Selangor

22/08/2025 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Syarikat teknologi hijau yang beribu pejabat di Hong Kong, Unity Group Holdings International Ltd bekerjasama dengan Tek Securities Ltd yang berpusat di Labuan bagi memperkenalkan sukuk iklim berjumlah RMB200 juta.

Sukuk dari Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) itu bagi membiayai projek kredit karbon yang disahkan di bawah Program Inisiatif Hijau Selangor.

Pengarah Tek Securities Datuk Dr Hng Paik San berkata, sukuk yang digambarkan sebagai instrumen kewangan Islam pertama di dunia berkaitan dengan iklim ini akan dilancarkan pada minggu pertama Oktober 2025.

Beliau berkata, hasil daripada peringkat awal akan disalurkan ke dalam inisiatif Selangor, projek pertama Unity yang disahkan kredit karbon di bawah Inisiatif Bangunan Hijau Kesejahteraan Bandar untuk mempercepatkan penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050.

Hng berkata inisiatif Selangor direka untuk menjana dua aliran pendapatan berulang iaitu penjimatan tenaga sehingga 75 peratus dan pendapatan kredit karbon yang disahkan di bawah piawaian karbon disahkan (VCS) yang membolehkan tuntutan sehingga 30 tahun.

Tambahnya, Unity menggunakan lampu ESG berkecekapan ultra tinggi dengan jangka hayat 180,000 jam dan kadar kecacatan hanya 0.01 peratus yang direka untuk memenuhi syarat bagi tiga kitaran tuntutan karbon sekali gus memberikan pulangan pelaburan jangka panjang serta impak iklim yang boleh diukur.

Hng berkata sukuk yang didenominasi dalam mata wang renminbi ini seiring dengan usaha Asia untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar sekali gus mengurangkan risiko pertukaran asing bagi penerbit dan pelabur.

“Sukuk iklim ini bukan sekadar satu instrumen biasa, ia merupakan pelan tindakan untuk mempercepatkan penyahkarbonan.

“Dengan projek kredit karbon pertama kami yang disahkan di Selangor, kami membuktikan pelaburan ESG boleh memberikan dua aliran pendapatan sekali gus mewujudkan impak alam sekitar yang sebenar,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran sukuk berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group Mansfield Wong berkata terbitan sukuk ini yang disusun sebagai tawaran saham persendirian dengan tiga penjamin pelaburan terutamanya mensasarkan syarikat-syarikat China yang mempunyai operasi antarabangsa di pasaran seperti Timur Tengah, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan Iran.

Beliau berkata saiz sukuk sebanyak RMB200 juta agak kecil berbanding permintaan pasaran.

Katanya, pemain industri seperti syarikat penerbangan dan logistik memerlukan berjuta-juta tan kredit karbon setiap tahun bagi memenuhi kewajipan pematuhan.

Wong menambah, terbitan ini direka sebagai program perintis dengan tawaran sukuk yang lebih besar sedang dirancang di Pulau Pinang, Johor, Labuan, Lombok di Indonesia, Singapura, Filipina dan Timur Tengah.

Contohnya, beliau berkata sektor kondominium di Selangor sahaja boleh menyerap sukuk bernilai antara US$100 juta hingga US$200 juta manakala pengembangan kepada kemudahan komersial, pendidikan dan penjagaan kesihatan boleh mendorong terbitan sukuk sehingga berbilion dolar AS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan