BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kejohanan Remaja Asia: Qurratu’ain Sumbang Pingat Pertama Malaysia

22/08/2025 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia memulakan kempen Kejohanan Boling Tenpin Remaja Asia ke-22 dengan pingat gangsa menerusi atlet boling muda negara Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi dalam acara individu wanita yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Selepas kejayaan cemerlang merangkul lima pingat emas di Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, Qatar baru-baru ini, atlet berusia 17 tahun itu mencatatkan jumlah keseluruhan 1,293 jatuhan pin untuk menduduki tempat ketiga, dengan juara dari Singapura Hazel Tan Wei Ning (1,328 pin) manakala pemain Korea Selatan Paek Ye Dam meraih perak (1,297 pin).

Sementara itu, Adelia Nur Irwan Syazalee menamatkan saingan di tempat kelima meraih 1,286 pin, diikuti Adania Mohd Redzwan di tempat keenam (1,283 pin) dan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam di tempat ketujuh (1,277 pin).

Dalam acara individu lelaki, keempat-empat wakil negara gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik.

Muhammad Aiman Syahin Sulaiman muncul sebagai atlet terbaik Malaysia apabila menamatkan saingan di tempat keenam dengan 1,363  jatuhan pin.

Atlet Singapura Aiman Raedyn Lim Jen meraih emas dengan 1,436 jatuhan pin diikuti wakil Korea Selatan Bae Su Hyeon yang meraih perak (1,422 pin) manakala Talal Al Marri dari Qatar melengkapkan podium dengan 1,400 pin.

Kejohanan berkenaan berlangsung hingga 27 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan