BELANJAWAN 2025 > BERITA

PIC Jelaskan Impak Konfigurasi Pembinaan Jalan Pintasan

22/08/2025 08:46 PM

GEORGE TOWN, 22 Ogos (Bernama) -- Penang Infrastructure Corporation (PIC) hari ini tampil menjelaskan kekeliruan berhubung konfigurasi baharu serta impak kerja-kerja pembinaan Projek Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam terhadap laluan masuk ke Farlim Business Centre.

PIC dalam kenyataan memaklumkan penutupan persimpangan Lintang Angsana itu dibuat secara kekal kerana laluan utama terkesan dengan jalan pintasan projek Pakej 2 tersebut.

“Jalan pintasan itu akan bermula selepas simpang Jalan Zoo sebelum menjadi jejambat di sepanjang Lebuhraya Thean Tek, kemudian masuk ke kawasan berbukit berhampiran pusat beli-belah All Season. Bagaimanapun, Lebuhraya Thean Tek akan terus beroperasi di bawah jejambat tersebut dengan sedikit pindaan terhadap konfigurasi jalan sedia ada.

"Antara pindaan yang dibuat kepada Lebuhraya Thean Tek sedia ada ialah tiada bukaan atau simpang bermula dari simpang Jalan Zoo sehingga ke simpang Jalan Angsana kerana terdapat isu keselamatan yang akan timbul sekiranya terdapat bukaan jalan di bawah  jejambat," katanya dalam kenyataan hari ini.

PIC menjelaskan, susulan penutupan kekal persimpangan Lintang Angsana, pengguna jalan raya yang menuju ke Farlim Business Centre boleh menggunakan simpang empat Jalan Thean Tek dan membuat pusingan-U di simpang tersebut bagi kenderaan ringan.

Selain itu, pengguna juga boleh membelok ke kanan melalui Jalan Angsana untuk ke pusat perniagaan berkenaan.

PIC turut merakamkan permohonan maaf atas kesulitan yang dialami pengguna jalan raya dan pemilik premis perniagaan di kawasan terbabit.

“Perubahan ini dilaksanakan dengan mengambil kira faktor keselamatan sebagai keutamaan dalam penyampaian projek jalan yang terbaik kepada orang awam.

“Dalam jangka panjang, PIC yakin masyarakat akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini yang akhirnya memberi manfaat bersama demi kelancaran dan keselamatan semua pihak,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan