BELANJAWAN 2025 > BERITA

Raikan Hari Kebangsaan 2025 Dengan Promosi Tambang Istimewa KLIA Transit

22/08/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menawarkan promosi tambang istimewa KLIA Transit bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 bagi memudahkan orang ramai menghadiri pelbagai acara yang berlangsung di sekitar Putrajaya termasuk Perarakan Hari Kebangsaan 2025.

ERL dalam kenyataan memaklumkan penumpang boleh menikmati diskaun sebanyak 50 peratus untuk tiket pergi dan balik KLIA Transit dari mana-mana stesen ke Putrajaya dan Cyberjaya.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan promosi ini tidak sah untuk perjalanan ke KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

“Potongan harga diberikan untuk tambang dewasa dan kanak-kanak (umur enam hingga 15 tahun) untuk perjalanan pada 30 dan 31 Ogos 2025. Tiket boleh dibeli bermula 25 Ogos 2025 melalui laman sesawang rasmi dan aplikasi mudah alih KLIA Ekspres.

“Kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah pula boleh menaiki KLIA Transit secara percuma dengan setiap pembelian satu tiket dewasa (maksimum tiga kanak-kanak bagi setiap tiket dewasa),” menurut kenyataan itu.

Selain itu, ERL menyediakan Pek Merdeka eksklusif untuk 200 penumpang terawal yang tiba di Stesen Putrajaya dan Cyberjaya pada 31 Ogos 2025.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ERL Yeow Wei-Wen dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya berharap orang ramai akan mengambil peluang untuk memilih KLIA Transit ke Putrajaya serta menikmati perjalanan yang cepat dan selesa.

Penumpang KLIA Transit boleh menaiki bas ulang-alik percuma yang disediakan oleh Perbadanan Putrajaya dari Putrajaya Sentral bagi memudahkan pergerakan ke tapak aktiviti di sekitar Putrajaya bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Selain Perarakan Hari Kebangsaan, acara yang disediakan termasuk Riuh Merdeka, Tayangan Filem Terbuka dan Kira Detik Merdeka.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.KLIAekspres.com atau hubungi Perkhidmatan Pelanggan di 03-2267 8000.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan