BELANJAWAN 2025 > BERITA

Skuad Penyu 'Mengganas' Di Brunei

22/08/2025 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Terengganu FC memanjat ke tangga teratas Liga Super selepas berpesta gol membelasah DPMM FC 5-0 pada pertembungan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, Brunei malam ini.

Pemain tengah Terengganu Careca menjaringkan gol terpantas liga musim ini selepas meletakkan skuad Penyu di depan seawal 11 saat permainan bermula.

Careca bijak membaca perlawanan untuk memintas bola hantaran pemain pertahanan DPMM sebelum meluru ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Kristijan Naumovski.

Terengganu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua selepas pemain tengah Nurillo Tukhtasinov melepaskan rembatan padu melepasi kawalan benteng pertahanan dan jangkauan Naumovski pada minit ke-16.

Pasukan pelawat semakin selesa apabila mendahului 3-0 pada minit ke-74 selepas Careca tenang menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil Abang Azharudin Abdullah selepas bola terkena tangan Prosper Owusu.

Penyerang Yann Mabella dan Muhammad Syahmi Zamri melengkapkan kemenangan besar Terengganu selepas masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-84 dan pada masa tambahan separuh masa kedua.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Badrul Afzan Razali menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, satu mata mengatasi juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan