BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan 2025: Panglima TUDM Ketuai Segmen Udara Terbangkan Pesawat Su-30MKM

27/08/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada Ahad ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris akan memimpin segmen persembahan udara dengan menerbangkan pesawat pejuang jenis Su-30MKM.

Perkongsian di laman Facebook Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini memaklumkan penglibatan Muhamad Norazlan dalam persembahan itu mencerminkan semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan sekali gus menjadi lambang kekuatan sebuah pasukan.

Menurut TUDM, sebanyak 30 aset udara bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya pada tahun ini yang terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada semua agensi.

“Pagi tadi, Panglima Tentera Udara bersama juruterbang dan anak kapal TUDM telah memulakan persiapan dan latihan penerbangan bagi menjayakan segmen persembahan udara sempena sambutan tahun ini di Dataran Putrajaya.

“Aset-aset udara yang turut terlibat adalah daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” menurut hantaran itu.

TUDM turut memaklumkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 membawa tema 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' dan kali ini, semangat tersebut diterjemahkan melalui deruman enjin, kibaran Jalur Gemilang serta keberanian yang menjulang tinggi di angkasa raya oleh Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan serta pertahanan lain.

“Pengorbanan tidak bertepi, nyawa sebagai taruhan, itulah ikrar yang dipegang oleh kami dalam memastikan keamanan dan kemerdekaan negara terus dipertahankan.

Duty, Honour, Sacrifice,” katanya.

Hantaran itu juga menyeru rakyat Malaysia untuk turut serta memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini dan merakamkan detik bersejarah bersama keluarga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan