KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Komitmen serta inisiatif kerajaan untuk menjadikan empat lapangan terbang di negara ini sebagai hab penerbangan kargo adalah tumpuan pada Mesyuarat Majlis Konsultasi Penerbangan Negara (NACC) 2025.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata empat lapangan tersebut adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Ini dipengaruhi perkembangan positif kenaikan tahun ke tahun sebanyak 4.4 peratus bagi jumlah kargo dikendalikan oleh lapangan terbang di Malaysia sepanjang suku kedua tahun 2025 iaitu sebanyak 272,939 tan metrik berbanding 261,385 tan metrik bagi tempoh sama pada tahun 2024.
“Daripada 272,939 tan metrik kargo telah dikendalikan sepanjang suku kedua tahun 2025, sebanyak 60,770 tan metrik atau 22.3 peratus adalah kargo domestik dan sebanyak 202,911 tan metrik atau 74.3 peratus adalah kargo antarabangsa dan selebihnya 9,258 tan metrik atau 3.4 peratus adalah kargo transit,” katanya,
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan turut dihadiri 95 orang kepimpinan tertinggi kementerian, jabatan, agensi kerajaan Persekutuan dan pemain industri utama sektor penerbangan negara seperti pengendali lapangan terbang, syarikat-syarikat penerbangan, ground handlers, persatuan-persatuan pekerja sektor penerbangan dan pihak berkepentingan.
NACC diwujudkan sebagai platform untuk pemain industri penerbangan dan pihak berkepentingan bekerjasama membincangkan isu-isu semasa dihadapi industri, mencari jalan penyelesaian serta mewujudkan persekitaran kondusif untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi dan perkhidmatan ditawarkan dalam industri penerbangan.
Selain itu, mesyuarat itu turut membincangkan dan memutuskan beberapa tindakan susulan untuk menyelesaikan beberapa isu termasuk kajian semula pelaksanaan Green Lane bagi menyelesaikan isu kesesakan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan penambahbaikan pengurusan slot di lapangan terbang oleh National Slot Coordination Malaysia (NSCM).
Antara lain diputuskan adalah penubuhan Task Force bagi Projek Penggantian Baggage Handling System (BHS) untuk memantau kemajuan pelaksanaan projek dengan pelaporan berkala kepada Kementerian Pengangkutan dan pelaporan berkala oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memastikan projek-projek pembangunan lapangan terbang dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.
Sementara itu, kemudahan aksesibiliti antara Terminal 1 dan 2 bagi penumpang dan bagasi di kawasan airside di antara KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 akan dibangunkan MAHB bagi memastikan ketersambungan berterusan penumpang dan bagasi antara kedua-dua terminal.
Kementerian Pengangkutan juga menegaskan bahawa kerajaan komited menyokong agenda kelestarian global dan usaha menangani perubahan iklim, selaras dengan Long Term Aspirational Goal (LTAG) ditetapkan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO) untuk mencapai karbon sifar bersih pada 2050 bagi penerbangan antarabangsa.
“Susulan cadangan pengenalan mandat adunan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang sedang diterajui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Pengangkutan menggalakkan lebih banyak sesi libat urus diadakan dengan semua pihak yang terlibat terutama syarikat-syarikat penerbangan negara bagi memastikan pelaksanaan SAF tidak memberi impak negatif kepada daya saing sektor penerbangan negara.
“Usaha penyahkarbonan sektor penerbangan memerlukan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation), melibatkan kerajaan, syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang, penyedia trafik udara dan pihak industri untuk Malaysia mencapai aspirasi sebagai hab penerbangan mampan serantau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial