BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selangor Rangka Mekanisme Bagi Mudahkan Murid Lapor Kejadian Buli - Exco

27/08/2025 07:03 PM

SHAH ALAM, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan merangka mekanisme khas bagi memudahkan kanak-kanak melaporkan sebarang kejadian berunsur buli, kata Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan membuka ruang kepada generasi muda terutamanya pelajar sekolah berasrama menyalurkan maklumat sekiranya dibuli, sekali gus membendung budaya itu daripada terus berleluasa.

"Segelintir kanak-kanak mungkin berasa tidak selesa atau takut untuk bersuara dan bercerita kepada sesiapa. Justeru, mekanisme khas ini akan memudahkan mereka melaporkan kejadian buli yang dihadapi.

"Kita berharap usaha ini dapat mengekang budaya buli daripada terus berleluasa dan mengelak perkara lebih buruk berlaku pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anfaal juga menyarankan ibu bapa atau penjaga agar segera melaporkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya mempunyai maklumat mengenai anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka menjadi mangsa buli.

Beliau berkata laporan turut boleh dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya tindakan drastik dapat dilaksanakan.

“Ini penting supaya semua laporan dicatatkan dan adanya tindakan segera. Saya rasa langkah pencegahan lebih penting untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan KPM sedang menggubal semula peraturan pendidikan berkaitan disiplin murid di bawah Akta Pendidikan 1996 bagi mengekang isu jenayah buli di sekolah bertujuan memberikan panduan lebih jelas kepada guru untuk menguruskan kes salah laku disiplin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan