BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bacaan Kedua RUU Pekerja Gig 2025 Dibentang Esok – Steven Sim

27/08/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memberi perlindungan serta mengiktiraf peranan pekerja sektor berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat esok, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Sim berkata walaupun terdapat desakan segelintir pihak supaya pembentangan itu ditangguhkan, kerajaan tetap komited meneruskannya demi memastikan kebajikan kira-kira 1.2 juta pekerja gig di negara ini terbela.

“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, sudah bertahun kita menunggu. Saya tidak mahu menangguh kerana kerajaan sudah bersedia.

“Ini bukan isu politik, tetapi mengenai kebajikan rakyat, dan saya mohon pekerja gig menyokong,” katanya ketika ditemui selepas menerima memorandum daripada Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) di bangunan Parlimen, hari ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden TPAD M Nathan, dengan penyertaan kira-kira 150 ahli persatuan yang berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap RUU tersebut, yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin lalu.

RUU Pekerja Gig 2025 dijangka mewajibkan penyedia platform membuat potongan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada setiap transaksi pendapatan pekerja gig, selain menetapkan terma dan syarat yang jelas dalam perjanjian perkhidmatan bagi melindungi hak pekerja.

Sim menegaskan undang-undang itu penting untuk memastikan kebajikan pekerja gig terus terbela tanpa mengira siapa yang memerintah pada masa akan datang.

Sementara itu, TPAD dalam memorandum yang diserahkan turut meminta supaya harga lantai ditetapkan bagi industri e-hailing dan p-hailing.

Selain itu, mereka juga mencadangkan pengagihan tugas dilakukan secara manual tanpa sebarang syarat tersembunyi, dengan garis panduan yang jelas diletakkan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan