BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ekonomi APEC Bersetuju Untuk Kerjasama Lebih Erat Dalam Industri Kreatif Dan Budaya

27/08/2025 11:11 PM

Daripada Farhana Poniman

GYEONGJU, 27 Ogos (Bernama) -- Menteri dan wakil peringkat tinggi daripada ekonomi APEC mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan komitmen untuk meneruskan kerjasama dalam sektor budaya dan kreatif.

Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan Chae Hwi-young berkata kenyataan bersama itu merupakan hasil Dialog Peringkat Tinggi APEC mengenai Industri Kreatif dan Budaya yang julung kali diadakan.

“Pegawai menekankan tiga bidang utama kerjasama iaitu menghubungkan ekonomi melalui industri kreatif dan budaya (CCI) sebagai pemangkin perdagangan dan kerjasama; memupuk inovasi dengan memanfaatkan alat digital dan AI; serta memajukan kemakmuran dengan menyokong pendidikan, latihan dan penglibatan dalam CCI.

“Sehingga kini, kita membincangkan pelbagai agenda termasuk ekonomi digital, perdagangan dan tenaga, namun kini kita mengiktiraf nilai ekonomi industri budaya,” katanya pada sidang media di luar mesyuarat Dialog Peringkat Tinggi APEC mengenai Industri Kreatif dan Budaya 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata selepas persetujuan sebulat suara itu, langkah seterusnya untuk memastikan kesinambungan dialog berkenaan adalah dengan mewujudkan rangka kerja rasmi bagi perbincangan susulan serta kerjasama dengan China, selaku tuan rumah APEC tahun depan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kerjasama APEC yang lebih kukuh dalam membangunkan industri kreatif dan budaya (CCI) akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan serantau, keterangkuman dan inovasi.

Beliau berkata sektor itu wajar diintegrasikan lebih mendalam ke dalam rantaian nilai serantau dan ekosistem perdagangan digital, selain diiktiraf sebagai aset boleh eksport yang layak menerima sokongan dasar serta pelaburan rentas sempadan.

“Produk dan perkhidmatan budaya seharusnya melangkaui pameran semata-mata. Ia adalah aset yang boleh membentuk naratif global serta menjana sumber pendapatan mapan.

“Dalam era gangguan, kebimbangan iklim dan perpecahan sosial, industri kreatif dan budaya menyediakan apa yang paling kita perlukan iaitu keterhubungan. Malaysia sedia bekerjasama dengan rakan APEC untuk memajukan sektor ini sebagai pemacu ekonomi dan instrumen maruah manusia,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Dialog itu dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan dengan menghimpunkan kira-kira 150 perwakilan termasuk menteri kebudayaan, pemerhati rasmi APEC, artis dan sarjana dari 21 ekonomi anggota.

Bertemakan “CCI: New Horizons for Prosperity”, acara itu menjadi pemangkin kepada Sidang Kemuncak APEC pada Oktober yang turut akan berlangsung di Gyeongju dengan tema utama “Building a Sustainable Tomorrow: Connect, Innovate, Prosper.”

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan