BELANJAWAN 2025 > BERITA

IJM Sasar Nilai Perolehan Kontrak Pembinaan Baharu Sehingga RM8 Bilion Tahun Ini

28/08/2025 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Peralihan kepada projek industri terutama pusat data mengukuhkan nilai perolehan kontrak pembinaan IJM Corporation Bhd dan meletakkanya di landasan pertumbuhan mampan dengan menyasarkan nilai perolehan kontrak pembinaan baharu sehingga RM8 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan Datuk Lee Chun Fai berkata hampir dua pertiga daripada nilai perolehan kontrak semasa IJM terdiri daripada bangunan industri.

“Projek-projek ini menawarkan tempoh siap yang lebih singkat dan pulangan yang lebih kukuh berbanding pembangunan komersial atau kediaman,” katanya di taklimat media mesyuarat agung tahunan IJM ke-41 di isni, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan nilai perolehan kontrak pembinaan baharu antara RM6 bilion hingga RM8 bilion pada 2025, dan antara projek yang telah diperoleh termasuk projek Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) bernilai RM1.4 bilion, kontrak pusat data bernilai RM1.4 bilion di Johor, dan projek perumahan awam di Nusantara, Indonesia.

Nilai perolehan kontrak pembinaan IJM kini berada pada paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM12.9 bilion, yang turut merangkumi nilai perolehan kontrak daripada syarikat sekutu United Kingdom, JRL Group Holdings Ltd, dan syarikat sekutu Singapura, Hexacon Construction Pte Ltd.

Mengenai pengembangan pasaran, Lee berkata IJM sedang mempelbagaikan operasi ke luar Malaysia, dengan London menjadi pasaran pertumbuhan alternatif utama berikutan aktiviti tender yang perlahan di India.

Mengulas kebimbangan mengenai risiko geopolitik yang menjejaskan strategi bangunan industri syarikat, beliau berkata ketidaktentuan seperti ketegangan perdagangan semasa pertikaian tarif Amerika Syarikat-China telah menyebabkan beberapa pelanggan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang menangguhkan rancangan pengembangan masing-masing.

Lee berkata bagaimanapun, segmen pusat data kekal berdaya tahan, khususnya di Johor, apabila 14 kelulusan telah diberikan dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga dijangka menarik pelaburan baharu dalam pusat data dan kemudahan E&E.

“Walaupun terdapat ketidaktentuan global, kami percaya prospek nilai perolehan kontrak pembinaan kami kekal kukuh,” katanya.

Lee juga berkata selain pendapatan berasaskan projek, pihaknya juga berhasrat untuk mengembangkan sumber pendapatan berulang melalui hartanah pelaburan, khususnya di UK.

Beliau berkata pendapatan berulang akan memberikan kestabilan dan penciptaan nilai jangka masa panjang, membantu mengimbangi sifat kitaran pembangunan hartanah dan pembinaan.

“Aspirasi kami adalah memastikan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pendapatan kami akan menjadi pendapatan berulang pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan