BELANJAWAN 2025 > BERITA

TNB Pacu Pembinaan Negara Dan Perkasakan Komuniti, Keputusan Separuh Pertama 2025 Beri Ganjaran Pemegang Saham Dengan Dividen RM1.5 Bilion

28/08/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini mengumumkan prestasi kewangannya bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dengan penekanan terhadap pengukuhan peranannya dalam membangunkan negara dan menyokong komuniti, di samping memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham.

 

Kebolehpercayaan Merupakan Teras Strategi TNB

Bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati bekalan elektrik yang stabil dan selamat, kebolehpercayaan merupakan tonggak utama strategi TNB.

Selain daripada kekuatan kewangan dan sumbangan kepada komuniti, bekalan yang berdaya harap adalah asas penting dalam menyokong isi rumah, industri serta pertumbuhan negara.

Di samping memberi nilai dan impak kepada komuniti, kebolehpercayaan kekal sebagai nadi misi TNB.

Dalam tempoh Separuh Pertama 2025, TNB melabur sebanyak RM5.2 bilion dalam projek berkaitan kebolehpercayaan bagi memenuhi pertumbuhan permintaan, keselamatan bekalan dan peralihan tenaga.

Pada 28 Mei 2025, TNB telah merekodkan permintaan maksimum baharu sebanyak 21,049 Megawatt (MW), sekali gus menekankan kepentingan pelaburan ini.

Usaha dalam aspek ini juga telah membawa kepada penambahbaikan jelas apabila prestasi Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) meningkat kepada 23.56 minit bagi setiap pelanggan pada Separuh Pertama 2025 berbanding 23.92 minit pada tahun lalu.

 

Dividen yang Dikembalikan kepada Rakyat

Bagi tempoh Separuh Pertama 2025, TNB mencatatkan pulangan sebanyak RM2.2 bilion, disokong oleh permintaan kukuh, kecekapan operasi serta pengurusan kewangan berhemat.

Ini juga disumbang oleh keuntungan terjemahan pertukaran asing sebanyak RM350.6 juta, terutamanya berikutan pengukuhan ringgit, daripada RM4.47/USD pada Disember 2024 kepada RM4.21/USD pada Jun 2025.

Prestasi yang stabil ini telah membolehkan Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham, selaras dengan dasar dividen syarikat.

“Komitmen dividen kami adalah untuk terus memberi ganjaran kepada pemegang saham. Seterusnya, ia turut dipulangkan secara langsung kepada rakyat dan untuk pembinaan negara. Ini mencerminkan etos TNB untuk memberi nilai sambil menyalurkan semula untuk manfaat negara,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Dianggarkan RM1.5 bilion dalam bentuk dividen akan diagihkan kepada pemegang saham TNB, dengan hampir 60 peratus akan disalurkan kepada institusi pelaburan berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Ini mencerminkan komitmen berterusan TNB untuk menjana pulangan kepada pemegang saham dan seterusnya rakyat, dengan jutaan rakyat Malaysia mendapat manfaat melalui pencen dan simpanan.

 

Pembinaan Negara: Memperkasa Pelanggan dan Komuniti

Selain menjana pulangan kewangan, TNB terus menyumbang melalui inisiatif bersasar yang menyokong rakyat Malaysia dan membina komuniti yang lebih kukuh, sambil memacu kesiapsiagaan negara menuju masa depan yang lebih mampan dan berteraskan digital.

Sejajar dengan matlamat ini, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) akan memperkenalkan kursus baharu di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) bermula September ini.

Program ini dirangka bagi memenuhi permintaan pasaran kerja yang kian meningkat serta seiring dengan aliran teknologi global.

Melalui pemantapan kemahiran lanjutan dalam kalangan pelajar, UNITEN mempersiapkan graduan yang sedia untuk kerjaya bernilai tinggi dalam sektor tenaga dan bidang lain, sekali gus menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital dan lestari.

TNB turut memperkukuh impak sosialnya melalui bantuan zakat, dengan RM5.4 juta disalurkan kepada lebih 21,500 penerima asnaf.

Bantuan ini merangkumi projek perumahan di bawah Projek Baiti Jannati, pembaikan dan pendawaian semula rumah, bantuan kepada golongan miskin dan kumpulan memerlukan, serta sokongan bagi tujuan Fisabilillah seperti penambahbaikan masjid dan surau, bantuan kepada institusi tahfiz serta inisiatif kebajikan lain.

Sepanjang tempoh Separuh Pertama 2025, jumlah bagi inisiatif komuniti yang lain mencecah RM99.7 juta. Jumlah sumbangan termasuk:

Sokongan Pendidikan: Menerusi bantuan berjumlah RM64.3 juta yang disalurkan melalui UNITEN dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), seramai 1,515 pelajar di seluruh negara dapat meneruskan pengajian mereka, seterusnya membuka peluang untuk bakat masa hadapan selain menyumbang kepada pembangunan modal insan jangka panjang Malaysia.

●  Kebajikan Pendidikan: Sejumlah RM3 juta telah diagihkan kepada 276 pelajar kurang berkemampuan dan 50 sekolah di bawah Program Sekolah Angkat TNB.

●  Sumbangan khidmat Komuniti: Sebanyak RM2.5 juta telah disalurkan kepada 93,000 penerima dalam bentuk bantuan makanan, acara komuniti dan program keagamaan.

Inisiatif Penjagaan Kesihatan: Kira-kira RM335,000 telah diperuntukkan kepada program yang memberi manfaat kepada sekitar 2,710 individu. Ini termasuk pemberian peralatan kepada Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Pakar USM, sokongan pesakit di Hospital Sultan Zainal Abidin serta inisiatif oleh Pertubuhan Prihatin dan Sokongan Kanser Wanita dan Hari Kanser Sedunia 2025.

●  Bantuan Bencana: RM541,250 telah disalurkan bagi membantu 3,156 individu yang terjejas akibat banjir dan ribut di beberapa negeri serta pelarian Palestin.

 Pembangunan Sukan: Bagi memupuk kecemerlangan sukan negara, lebih RM4.8 juta telah disalurkan untuk pembangunan hoki. Sumbangan kepada Konfederasi Hoki Malaysia, klinik latihan dan penyediaan peralatan telah memberi impak kepada hampir 15,750 atlet dan peminat.

●  Pulau Tenaga Hijau (PTH): Pelaburan sebanyak RM360,513 telah disalurkan untuk pemasangan bumbung solar di SK Pulau Redang dan Masjid Kg Baru Pulau Redang yang memberi manfaat secara langsung kepada 723 individu. Inisiatif ini menyokong penggunaan tenaga yang lebih bersih di sekolah dan rumah ibadat, di samping memupuk kesedaran kelestarian dalam komuniti pulau tersebut.

●  Merakyatkan Solar: Sebanyak RM2.17 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek panel solar pada bumbung dan lampu jalan berkuasa solar di tapak komuniti berimpak tinggi termasuk hospital Anjung Kasih, rumah ibadat, kampung pulau, sekolah luar bandar serta hab pendidikan.

 

Pengiktirafan dan Hala Tuju Masa Depan

Usaha-usaha ini yang merangkumi kebolehpercayaan grid, peralihan kepada tenaga bersih, disiplin kewangan dan inisiatif berfokuskan komuniti, secara keseluruhannya memperkukuhkan visi jangka panjang TNB untuk membina ekosistem tenaga moden, berdaya harap dan mampan, sejajar dengan strategi Reimagining TNB 2.0.

Komitmen ini turut diiktiraf pada Julai 2025 apabila Brand Finance menobatkan TNB sebagai jenama utiliti kedua terkukuh di dunia dan jenama utiliti nombor satu ASEAN, dengan nilai jenamanya meningkat 35 peratus kepada US$2.3 bilion serta menerima penarafan AAA.

Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan asas kukuh dan kepercayaan terhadap kepimpinan TNB, tetapi juga kesediaannya untuk memacu pertumbuhan jangka panjang serta membangunkan ekosistem tenaga yang mampan dan inklusif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan