Daripada Harizah Hanim Mohamed
BUSAN, 28 Ogos (Bernama) – Malaysia bersedia bekerjasama dengan 21 ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk membina sistem tenaga yang berdaya tahan, adaptif dan mampu menyokong peralihan bersama ke arah pertumbuhan rendah karbon, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam sesi intervensi selama tiga minit pada Thematic Session 2: Strengthening Grid Security and Reliability di sini hari ini, beliau menekankan bahawa memperkukuh keselamatan dan kebolehpercayaan grid merupakan antara cabaran paling mendesak dalam ekonomi berkembang pesat ke arah penggunaan elektrik yang lebih meluas dan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi.
“Sistem penghantaran dan pengagihan kita perlu diperluas dan dimodenkan. Variasi penjanaan tenaga boleh baharu, dengan infrastruktur lama, kapasiti penghantaran yang terhad dan risiko siber yang meningkat, menjadikan tugas ini semakin mendesak,” katanya.
Sesi ini antara acara utama dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC (APEC EMM15), mesyuarat peringkat menteri di bawah APEC dan merupakan kesinambungan kepada sesi sebelumnya yang diadakan di Lima, Peru, tahun lepas.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan bahawa kerjasama serantau amat penting dan melalui APEC, amalan terbaik dapat dikongsi, piawaian diselaraskan dan projek infrastruktur merentas sempadan dilaksanakan.
“Tiada ekonomi yang dapat mencapai kebolehpercayaan grid secara bersendirian dan melalui kerjasama serantau, kita memperkukuh daya tahan bersama kita dan memastikan grid kita bersedia untuk memenuhi keperluan tenaga bersih pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Malaysia mengiktiraf bahawa kesediaan grid adalah teras kepada peralihannya.
“Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kita memberi keutamaan kepada peluasan penghantaran dan pemodenan grid untuk memastikan tenaga boleh baharu berskala besar dapat disepadukan dengan selamat dan dipercayai.
“Pada masa yang sama, kita meningkatkan hubungan dengan negara jiran ASEAN kita melalui Grid Tenaga ASEAN berikutan keselamatan tenaga serantau hanya dapat dicapai jika rangkaian kita bersambung dan berdaya tahan merentas sempadan,” katanya.
Terdahulu, Malaysia turut membuat pembentangan pada Thematic Session 1: Electricity Expansion for a Stable Supply Open Discussion serta Fadillah menegaskan bahawa Malaysia telah memansuhkan sekatan ke atas eksport tenaga boleh baharu dan sedang membangunkan sistem pertukaran tenaga tersebut.
“Bagi menggalakkan pelaburan, kami melaksanakan bidaan kompetitif bagi solar berskala besar dan memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat bagi membolehkan perolehan tenaga boleh baharu korporat.
“Inisiatif ini mewujudkan ketelusan dan keyakinan untuk pelabur selain memastikan operasi pasaran yang cekap,” katanya.
Fadillah berada di sini untuk lawatan kerja rasmi sehingga 29 Ogos bersempena dengan EMM15.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial