KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto bertekad memecahkan dominasi China dalam acara beregu campuran sekali gus mengangkat Malaysia sebagai kuasa nombor satu dunia dalam kategori itu.
Namun, beliau mengakui hasrat tersebut bukan sesuatu yang mudah dicapai, sebaliknya memerlukan usaha melahirkan lebih ramai pasangan beregu campuran berkelas dunia sekiranya Malaysia benar-benar mahu mendominasi acara berkenaan.
“Untuk beregu campuran, China masih nombor satu dan kekuatan mereka banyak bergantung kepada pemain wanita.
“Tetapi kejayaan Tang Jie-Ee Wei membuktikan mereka bukan tidak boleh dikalahkan. Dengan kerja keras, kita mampu mencabar mereka,” katanya ketika ditemui semalam.
Nova berkata beliau menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya dua lagi pasangan beregu campuran berkelas dunia menjelang hujung tahun ini.
Menurutnya, beliau bersama barisan kejurulatihan kini sedang melakukan proses kaedah percubaan dan kesilapan bagi mencari kombinasi terbaik yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya sudah bercakap dengan pemain junior dan pelapis kerana saya mahu melihat prestasi mereka dalam setiap kejohanan. Buat masa ini mereka masih bertukar-tukar pasangan.
“Namun, kita dapat lihat ada beberapa pasangan yang sudah bergelar juara dalam saingan International Challenge dan International Series. Mudah-mudahan hujung tahun ini kita dapat lahirkan pendamping untuk Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial