KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski mahu anak buahnya menunjukkan tahap permainan sebenar pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura dan Palestin.
Ini kerana pasukan kebangsaan, disebabkan masalah logistik dan ketiadaan pemain, terlepas peluang bersaing dalam Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang sedang berlangsung di Tajikistan dan Uzbekistan, yang menampilkan pasukan terkuat seperti Iran, Uzbekistan dan Oman.
Oleh itu, pakar taktikal asal Australia itu melihat kedua-dua perlawanan persahabatan tersebut penting untuk pasukan menunjukkan kemajuan dan meningkatkan prestasi.
“Singapura mempunyai pasukan yang baik dan kita perlu menampilkan permainan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang kita mahukan. Palestin juga lawan yang sukar dan mereka berada pada kedudukan 100 teratas. Ia bakal menjadi ujian yang berbeza dan itu bagus untuk kita.
“Kedua-dua perlawanan tersebut akan membolehkan kita berkembang, menguji dan meningkatkan prestasi. Jendela antarabangsa ini, dan setiap kali apabila kita dapat berkumpul adalah peluang untuk memperbaiki permainan dan terus berkerja keras untuk menjadi pasukan yang kita impikan,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan menjelang pertemuan dengan Singapura di Stadium National di Bukit Jalil di sini hari ini.
Malaysia telah bersedia berdepan musuh tradisi Singapura - terkenal dengan jolokan Causeway Derby - bimbingan jurulatih Gavin Lee esok, sebelum bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, pada Isnin (8 Sep).
Cklamovski berkata beliau menjangkakan cabaran kuat daripada pasukan yang menduduki rangking 159 dunia itu, yang dilihat telah membentuk gaya permainan konsisten dan bakal memberikan ujian berharga untuk kemajuan pasukannya.
“Kita menghormati mereka. Mereka mempunyai pemain yang bagus. Saya juga teruja dengan cabaran yang bakal menunggu. Mereka telah bermain dengan corak tertentu sejak satu atau dua tahun lepas, dan saya jangka mereka akan terus melakukan gaya permainan yang sama.
“Saya juga tidak sabar untuk menampilkan corak baharu permainan kami dan mencipta ruang yang kita tahu kita boleh sekat mereka...dan menjaringkan gol. Ia satu cabaran bola sepak yang baik, ujian yang bagus untuk membantu kita terus berkembang sebagai satu pasukan,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu.
Sementara itu, kapten pasukan negara Dion Cools tidak sabar untuk menterjemahkan pengalaman bermain di liga divisyen teratas Jepun dengan menampilkan permainan mantap bersama Harimau Malaya esok.
Pemain berusia 29 tahun yang baru-baru ini menyertai Liga-J mewakili Cerezo Osaka, percaya beraksi di satu daripada liga paling kuat Asia memberikan kelebihan kepadanya dan diharap dapat dimanfaatkan untuk negara.
“Saya berpendapat Liga Jepun antara yang terbaik di Asia. Bagi saya berpeluang beraksi di sana setiap minggu memberi pengalaman yang mungkin pemain lain tidak miliki. Saya harap dapat diterjemahkan di atas padang bagi membantu pasukan,” katanya.
Dalam lima pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sebelum ini, Malaysia telah menang sekali, seri dua kali dan tewas dua kali kepada Singapura, dengan pertembungan terbaharu berkesudahan seri 0-0 pada peringkat kumpulan Piala ASEAN 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial