KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski memberi jaminan pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim berada dalam keadaan terbaik dan sedia beraksi untuk negara walaupun dilaporkan berdepan masalah peribadi.
Jurulatih Australia berusia 46 tahun itu menegaskan perkara di luar padang tidak mempengaruhi komitmen dan prestasi bintang Selangor FC itu dengan pasukan kebangsaan, selain Mohamad Faisal juga mendapat sokongan seluruh pasukan yang teguh bersamanya.
“Dari perspektif bola sepak, (perkara itu) tiada kesan. Sudah tentu kehidupan peribadi adalah urusan dia dan keluarga dengan kami memberikan sokongan untuk dia menghadapi situasi tersebut. Kami semua ada untuk dia dan saya mendoakan yang terbaik. Saya tahu Micky (Mohamad Faisal) inspirasi kepada negara.
“Dari sudut bola sepak, beliau dalam keadaan terbaik dan saya tahu dia sedang menguruskan hal peribadinya dengan sokongan penuh kami,” katanya pada sidang media pra perlawanan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Ditanya sama ada Mohamad Faisal akan diturunkan pada aksi menentang Singapura esok dan Palestin pada Isnin depan, Cklamovski berkata keputusan itu hanya dimuktamadkan pada hari perlawanan.
“Anda akan melihat senarai skuad esok, tetapi dia bersedia sepenuhnya. Dia menjalani latihan dengan gigih dan bersedia untuk beraksi,” katanya.
Semalam, media melaporkan isteri pemain sayap negara itu Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan perceraian manakala Mohamad Faisal yang merupakan pemenang anugerah gol terbaik Piala Asia 2023 belum membuat sebarang kenyataan berhubung isu itu.
Malaysia dijadualkan menentang Singapura di sini malam esok sebelum bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor Isnin depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial