Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi
KANGAR, 3 Sept (Bernama) -- Mencecah usia 50 tahun pada 29 Ogos lepas, kewujudan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara terus menjadi platform untuk memperkukuh keharmonian masyarakat dan integrasi nasional.
Dengan lebih 8,500 KRT di seluruh negara, Pengarah Perpaduan Perlis Hanita Ahmad berkata peranan KRT signifikan dalam memperkasakan perpaduan menerusi fungsinya sebagai jambatan penghubung antara masyarakat pelbagai kaum melalui program kemasyarakatan.
“Justeru, peranan KRT bukan sahaja relevan, malah semakin diperlukan untuk memastikan agenda perpaduan negara terus subur dan berakar di hati rakyat,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Menurut portal Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Skim Rukun Tetangga dilancarkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak pada 29 Ogos 1975 di Kampung Kassipilay, Kuala Lumpur.
Hanita berkata selepas lima dekad, KRT kini menjadi ruang interaksi penduduk tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan ideologi politik, melalui pelbagai aktiviti seperti rumah terbuka musim perayaan, gotong-royong, dialog harmoni dan sukan komuniti yang berjaya memupuk sikap saling menghormati dan toleransi.
“Dari sudut keselamatan pula, SRS (Skim Rondaan Sukarela) di bawah KRT juga sangat membantu dalam memastikan penduduk rasa selamat di kawasan rondaan,” katanya.
Beliau berkata aktiviti KRT terbahagi kepada tiga kluster utama, iaitu Perpaduan, Kenegaraan, dan Komuniti Rahmah yang merangkumi beberapa bidang antaranya agama, sukan, pendidikan, rekreasi, sosial, keselamatan, kesihatan, kebajikan, ekonomi dan kebudayaan.
Hanita berkata di Perlis, terdapat 142 KRT yang telah diwartakan dan daripada jumlah itu, kita-kira 85 peratus KRT aktif dengan pelbagai aktiviti perpaduan yang dilaksanakan pada peringkat komuniti.
Ditanya mengenai penglibatan golongan muda dalam aktiviti KRT di Perlis, beliau berkata perkembangan positif dapat dilihat melalui pengenalan pendekatan baharu yang lebih kreatif dan inklusif seperti sukan komuniti, pertandingan e-sukan, aktiviti kesukarelawanan, rondaan keselamatan bersama SRS serta projek inovasi sosial.
“KRT berjaya menarik minat generasi muda dan kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan lagi aktiviti kejiranan, tetapi juga menjadi jambatan baharu dalam membina kepimpinan pelapis.
“Saya percaya dengan kesinambungan usaha ini, golongan muda di Perlis akan terus menjadi aset penting KRT dalam menggerakkan agenda perpaduan, sekali gus membuktikan bahawa KRT relevan dengan generasi masa kini,” katanya.
Bersempena dengan Bulan Kebangsaan tahun ini, Hanita berharap KRT dapat menjadi wadah memperbaharu iltizam untuk mempertahankan keamanan, menolak perpecahan serta menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas kehidupan bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial