BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hari Terbuka Masjid Kembali Sempena ITM 2025

03/09/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Islamic Tourism Centre (ITC) meneruskan penganjuran program ikonik Hari Terbuka Masjid (MOD) sebagai sebahagian pengisian Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2025, sepanjang September ini di sembilan masjid terpilih seluruh negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, ITC memaklumkan pintu masjid berkenaan akan dibuka kepada orang awam, termasuk pelawat bukan Muslim bagi merasai sendiri keindahan seni bina, sejarah dan peranan spiritual masjid sebagai mercu tanda budaya yang menyatukan masyarakat.

“Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap warisan Islam Malaysia serta mempromosikan pelancongan mesra Muslim melalui pendekatan inklusif dan berteraskan komuniti.

“Melalui lawatan berpandu, pameran dan aktiviti interaktif, MOD menggalakkan dialog antara budaya dan penghargaan terhadap warisan Islam Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Masjid yang terlibat ialah Masjid Al-Qodim di Sarawak pada 5 hingga 7 Sept; Masjid Alam Impian, Selangor (6 Sept); Masjid Tun Abdul Aziz, Selangor (13 Sept); Masjid Muhammadi, Kelantan (15 Sept); Masjid, Masjid Sendayan, Negeri Sembilan (18 Sept); dan Masjid Zahir, Kedah (20 Sept).

Selain itu, Masjid Sultan Abu Bakar, Pahang pada 26 dan 28 Sept; Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya (27 Sept); dan Masjid Muhammadiah Cina Ipoh, Perak (28 Sept).

Kenyataan itu memaklumkan antara aktiviti yang akan dianjurkan ialah forum kesihatan, program rentas budaya, pertandingan untuk kanak-kanak dan remaja, sukan rakyat, forum perdana bersama tokoh jemputan, pameran serta persembahan.

Menurut ITC program MOD ini turut menyokong usaha Malaysia untuk memperluas sektor Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH), khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)

“Dengan membuka pintu masjid kepada dunia, MOD membantu Malaysia memperkukuh kedudukannya bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka tetapi juga sebagai peneraju diplomasi budaya dan persefahaman rentas agama,” menurut kenyataan itu.

ITC memaklumkan MOD turut memperkukuh inisiatif jangka panjang pusat tersebut termasuk latihan Pemandu Lawatan Masjid (MosVi) dan pembangunan Direktori Masjid Pelancongan yang kini merangkumi 51 masjid serta boleh diakses melalui platform My Muslim Trip.

“Dengan sejumlah 6,851 masjid di seluruh negara dan 97 daripadanya dikenal pasti sebagai masjid pelancongan, MOD memainkan peranan penting dalam mengetengahkan masjid sebagai destinasi pelancongan yang inklusif,” menurut ITC.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini di laman sesawang rasmi di itm.itc.gov.my, selain dijemput menyertai #ExperienceITM2025 Tik Tok Challenge untuk berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM50,000

Selain MOD, ITM turut akan menyaksikan penganjuran Global Halal Summit (GHaS) pada 16 hingga 18 Sept, dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) pada 17 hingga 20 Sept ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan