BELANJAWAN 2025 > BERITA

DNeX Dapat Lanjutan Kontrak Kerajaan Bagi Jendela Tunggal Nasional

03/09/2025 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Anak syarikat Dagang NeXchange Bhd (DNeX), Dagang Net Technologies Sdn Bhd memperoleh lanjutan kontrak daripada kerajaan bagi inisiatif Jendela Tunggal Nasional (NSW) untuk pemudah cara perdagangan.

Ini sekali gus menandakan keyakinan berterusan terhadap keupayaan infrastruktur perdagangan digital kumpulan tersebut.

Syarikat teknologi global itu berkata, lanjutan kontrak berkenaan meliputi tempoh satu tahun bermula 1 Sept, 2025 dengan pilihan untuk lanjutan setahun lagi, tertakluk kepada semakan prestasi, keperluan semasa, dan persetujuan bersama.

DNeX berkata, NSW untuk pemudah cara perdagangan kekal sebagai penyumbang penting kepada hasil kumpulan yang menyumbang kira-kira lapan peratus daripada jumlah pendapatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Faizal Sham Abu Mansor berkata lanjutan kontrak ini merupakan bukti kukuh terhadap kepakaran dan keupayaan kumpulan untuk menyediakan penyelesaian pemudah cara perdagangan yang inovatif dan cekap.

“Kami kekal teguh dalam komitmen untuk melebihi jangkaan pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan elektronik (e-perkhidmatan) yang memperkasakan perniagaan bagi mengoptimumkan operasi dan memacu pertumbuhan.

“Dengan lebih 15 tahun pengalaman yang terbukti dalam membangunkan dan menyelenggara sistem yang kritikal ini, kumpulan sekali lagi menunjukkan keupayaan dan kebolehpercayaannya dan kini kami bersedia untuk memanfaatkan rekod pencapaian ini bagi mengembangkan penawaran kami ke negara-negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Faizal Sham berkata e-perkhidmatan syarikat dibangunkan, diurus dan diselenggara oleh pasukan bakat tempatan berdedikasi yang secara konsisten memenuhi perjanjian tahap perkhidmatan (SLA) dan sasaran ketersediaan.

Beliau turut menekankan portfolio syarikat kini semakin berkembang, melangkaui NSW termasuk pembangunan, pelaksanaan dan penyelenggaraan Fasa 1 bagi Jendela Tunggal Maritim Malaysia (MMSW).

MMSW merupakan platform berpusat yang direka untuk memudahkan aliran maklumat secara menyeluruh, berfungsi sebagai portal sehenti dengan keupayaan log masuk tunggal serta penyerahan tunggal  bagi urus niaga perkhidmatan kawal selia maritim dan pelabuhan di seluruh negara.

Di bawah kontrak yang diperbaharui, DNeX akan terus menyediakan enam e-perkhidmatan utama di bawah NSW iaitu eDeclare, eManifest, ePCO, ePermit, ePermitSTA dan ePayment.

Syarikat itu berkata, perkhidmatan ini amat penting dalam mengoptimumkan aliran perdagangan dengan menyediakan platform digital untuk interaksi yang lancar antara komuniti perdagangan, kastam dan agensi berkaitan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan