BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dakwaan Wujud Penguasaan Pasaran Termasuk Kartel Beras Tidak Berasas - Arthur

04/09/2025 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Dakwaan mengenai penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri padi dan beras yang berpotensi membentuk struktur seperti kartel adalah tidak berasas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata perkara itu berdasarkan hasil kajian am ke atas industri padi dan beras yang dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara pada 17 Dis lepas.

“Berdasarkan kajian tersebut, MyCC tidak menemui sebarang amalan antipersaingan atau isu yang bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta Persaingan 2010,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris sama ada dapatan kajian MyCC yang menyimpulkan tiada pelanggaran undang-undang persaingan turut mengambil kira kemungkinan wujudnya penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri beras yang berpotensi membentuk struktur seperti kartel.

Arthur berkata dalam langkah ke hadapan, kementeriannya sedang melaksanakan reformasi menyeluruh industri padi dan beras secara berfasa sejak Oktober 2024, bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.

“Antara agenda utama di bawah reformasi industri padi dan beras adalah menilai semula kerangka perundangan sedia ada supaya kekal relevan dan berkesan dalam mengawal selia industri ini.

“Penilaian ini penting sebagai respons terhadap pelbagai isu yang membelenggu industri sejak kebelakangan ini, termasuk ketidakseimbangan ekosistem, dakwaan manipulasi bekalan melalui aktiviti percampuran beras dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata dapatan serta syor MyCC turut diambil kira demi mewujudkan persekitaran adil sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras, dan diharapkan segala usaha itu mendapat sokongan semua pihak untuk kebaikan serta masa depan industri negara.

Menjawab soalan tambahan Abdul Nasir mengenai mekanisme pasaran beras yang lebih kompetitif, Arthur berkata sebanyak 52 syarikat yang mengeluarkan pelbagai jenis dan jenama beras masing-masing mesti mematuhi proses kawalan serta piawaian standard digariskan, antaranya benih padi wajib mematuhi skim pensijilan.

“Proses pengilangan, pengedaran dan pengeluaran beras juga tertakluk kepada piawaian kebangsaan di bawah Standard Malaysia dan SIRIM Berhad, manakala penilaian kualiti beras dijalankan melalui ujian makmal bertauliah termasuk makmal padi beras di bawah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang diiktiraf ISO,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan