BALING, 4 Sept (Bernama) -- Penampilan sekumpulan penari terdiri daripada murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Siong di sini berjaya menarik perhatian pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini hari ini.
Lengkap dengan perhiasan badan diperbuat daripada bahan semula jadi seperti daun kelapa serta lalang, penampilan enam murid terbabit dalam persembahan Irama dan Tari Perpaduan Generasi MADANI cukup unik dan menarik.
Guru pengiring, Azizah Husain berkata kumpulan penari itu sememangnya sering mencuri tumpuan ramai dan selalu dijemput untuk mengadakan persembahan dalam pelbagai program di daerah ini.
"Mereka dilatih oleh guru di sekolah selepas tamat kelas sebelah pagi dan terdiri daripada murid darjah empat hingga enam... ada juga murid dari kelas pendidikan khas," katanya kepada Bernama.
Azizah juga berkata pada kebiasaannya, kumpulan itu mempersembahkan sewang yang merupakan tarian tradisi masyarakat Orang Asli di negara ini.
Tasha Akon, 10, berkata dia sangat teruja apabila berpeluang membuat persembahan hari ini kerana jumlah penonton yang ramai termasuk para pegawai kanan kerajaan.
"Mula-mula rasa takut juga nak menari sebab tengok ramai orang... tapi bila dah naik pentas, rasa okey dah," katanya.
Rakannya, Zuariana Hussin pula berkata kumpulan itu biasanya berlatih selepas waktu sekolah dengan bimbingan para guru.
"Saya rasa seronok hari ini... saya memang suka menari dan selalu berlatih dengan cikgu di sekolah pada sebelah petang," katanya.
Seramai 56 pelajar dari 14 sekolah di Daerah Baling terpilih mengadakan persembahan Irama dan Tari Perpaduan Generasi MADANI sempena PMR Kedah, yang bermula hari ini dan berakhir pada Sabtu.
Acara kemuncak PMR dan majlis penutupannya, yang dijadual berlangsung Sabtu ini, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial