BELANJAWAN 2025 > BERITA

Melaka Jadi Tuan Rumah AMMTC Ke-19 Dan Mesyuarat Berkaitan Bermula Isnin

07/09/2025 09:36 AM

MELAKA, 7 Sept (Bernama) -- Melaka akan menjadi pusat tumpuan kerjasama keselamatan serantau apabila mengambil peranan sebagai tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan selama lima hari, bermula esok.

Acara berprestij itu akan menghimpunkan pemimpin dan perwakilan daripada negara anggota ASEAN, Timor-Leste serta rakan dialog utama termasuk China, Jepun dan Republik Korea (ROK) bagi membincangkan cabaran mendesak berkaitan jenayah berkenaan.

Agenda lima hari itu padat dengan sesi persediaan, perbincangan berprofil tinggi serta rundingan penting yang bertujuan memperkukuh mekanisme serantau di samping menggalakkan kerjasama lebih erat dalam memerangi pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan AMMTC ke-19 yang turut menampilkan ucapan daripada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution.

Perbincangan utama AMMTC ke-19 akan berlangsung pada Rabu dengan para menteri dan delegasi mengadakan dialog komprehensif merangkumi 24 agenda berkaitan jenayah rentas sempadan, manakala mesyuarat dua hala sepanjang hari itu memberi ruang kepada perbincangan antara negara anggota.

Pemimpin-pemimpin AMMTC bersama pasangan mereka akan dibawa untuk menikmati pengalaman kebudayaan menaiki Melaka River Cruise, manakala delegasi lain bebas meneroka bandar raya yang kaya dengan warisan itu.

Pada Khamis, tumpuan beralih kepada rundingan bersama rakan dialog menerusi Konsultasi AMMTC+3 ke-15, Konsultasi AMMTC+China ke-12, Konsultasi AMMTC+Jepun ke-10 dan Konsultasi AMMTC+ROK ke-6, diikuti dengan acara simbolik penyerahan jawatan pengerusi daripada Malaysia kepada Filipina.

Mesyuarat akan berakhir pada Jumaat dengan program bersiar-siar untuk perwakilan sebelum berangkat pulang.

AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan diadakan sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan