BELANJAWAN 2025 > BERITA

SARA: Kerajaan Tidak Kompromi Terhadap Peniaga Naikkan Harga Barang

08/09/2025 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pihaknya mengambil maklum dengan beberapa hantaran melalui media sosial yang mendakwa terdapat segelintir peniaga menaikkan harga barangan.

“Sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan.

"Kerajaan MADANI akan menyiasat aduan. Dalam masa yang sama, kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Beliau juga menggalakkan orang ramai untuk membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membolehkan siasatan segera dijalankan.

Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN, iaitu https://eaduan.kpdn.gov.my, talian WhatsApp 019-848 8000, atau pusat talian 1-800-886-800.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan hari kelapan pelaksanaan Penghargaan SARA berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM102.5 juta melibatkan 1.7 juta penerima setakat pukul 9.30 malam.

“Kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus bagi dua hari berturut-turut. Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lepas, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini,” menurut kementerian itu.

Sejak dilaksanakan pada 31 Ogos, inisiatif berkenaan secara keseluruhannya telah memanfaatkan lebih 11.8 juta rakyat yang membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA bulanan, dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan