BELANJAWAN 2025 > BERITA

Orang Ramai Diminta Hormati Proses Keadilan – Peguam Negara

07/09/2025 03:04 PM

KOTA BHARU, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses keadilan yang sedang dijalankan, termasuk dalam prosiding inkues Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihaknya memandang serius sebarang bentuk ugutan atau komen yang boleh mengganggu saksi, seperti dialami pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Dr Jessie Hiu.

“Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu proses keadilan, termasuk mengugut saksi.

“AGC memandang serius ugutan yang diterima Dr Jessie Hiu kerana keterangannya amat penting bagi membantu Mahkamah Koroner mencapai keputusan yang adil, sekali gus memastikan keadilan untuk semua pihak.

“Sebarang ugutan, perbuatan negatif atau tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan saksi tidak boleh dipandang ringan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Long Gafar, di sini, hari ini.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun di Semporna kira-kira 7 pagi tadi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kerana disyaki mengugut pakar patologi yang terlibat dalam inkues berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan Dr Jessie berhubung ugutan diterimanya selepas tampil memberi keterangan di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina.

Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata siasatan kes berkenaan perlu dipercepatkan dan sekiranya terbukti wujud elemen ugutan seperti disyaki, tindakan tegas akan diambil.

“Kita faham proses ini melibatkan ramai saksi, dokumen dan pelbagai aspek lain. Justeru, kesabaran diperlukan kerana inkues ini dilaksanakan untuk memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk mangsa dan keluarga mangsa,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital sehari sebelumnya, setelah ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada majlis itu, Mohd Dusuki turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi naik taraf sekolah tersebut untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, demi menyokong kecemerlangan guru dan murid.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan