BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
MELAKA, 7 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka masih menantikan laporan penuh daripada pihak berkuasa berkaitan masalah air cetek di muara Jeti Pangkalan Pantai Siring, Umbai yang dipercayai dihadapi nelayan sejak lebih empat tahun lepas.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata laporan itu, akan diminta daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam masa terdekat sebelum tindakan selanjutnya dapat dilaksanakan.
“Saya masih belum mendapat laporan menyeluruh berhubung perkara ini...namun pada bulan lepas saya bersama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof turut turun padang meninjau keadaan di Pantai Siring.
“Saya yakin dan percaya isu yang membelenggu nelayan akan ditangani sebaik laporan penuh diterima, kerana kita tidak pernah abaikan mereka dan kita akan lihat apa yang perlu dilakukan untuk diatasi masalah tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, Krubong, hari ini.
Media melaporkan sebelum ini kira-kira 50 nelayan dan pengusaha bot pelancong di Jeti Pangkalan Pantai Siring telah memohon pihak berkuasa, agar mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang dihadapi itu.
Mereka mendakwa keadaan kerosakan sistem pintu air menjadi antara punca muara cetek dan dipenuhi lumpur dan menyukarkan sampan serta bot keluar masuk, sekali gus menjejaskan aktiviti harian mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial