BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pegawai Perhubungan Awam Negeri Perlu Responsif, Kreatif - Amirudin

08/09/2025 03:09 PM

KEPALA BATAS, 8 Sept (Bernama) -- Pegawai perhubungan awam bagi anak syarikat kerajaan negeri, jabatan, agensi serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor perlu lebih responsif dan kreatif dalam memberikan maklum balas serta menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata dalam usaha mengkoordinasikan komunikasi di negeri itu, pegawai perhubungan awam perlu sedar dan mengikuti perubahan dalam dunia komunikasi khususnya membabitkan penggunaan media sosial.

"Sekarang, kadang-kadang banyak berita-berita (tidak sahih dan berunsur negatif) digerakkan awal menerusi hantaran di sosial media. Jadi, mereka (pegawai perhubungan awam) kena sedar tentang situasi yang berubah itu…bukan memusuhi, sebaliknya bagaimana untuk beradaptasi.

“Yang penting adalah macam mana mereka dapat merancang satu komunikasi yang berkesan dalam mengetengahkan dasar-dasar dan juga pandangan negeri," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada program Program Retreat dan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Awam dan Media (PROM) Selangor 2025, di sebuah pusat peranginan di sini, hari ini. 

Program tiga hari dua malam yang bermula semalam dan disertai lebih 60 peserta membabitkan pegawai perhubungan awam mewakili jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri termasuk agensi media itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Dalam pada itu, Amirudin berkata penglibatan julung kali media dalam program tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri merapatkan serta melancarkan hubungan dua hala khususnya dalam penyampaian maklumat serta dasar baik yang dilaksanakan pihaknya kepada rakyat.

"Walaupun media sosial telah menawan dunia komunikasi, tetapi media arus perdana masih lagi memainkan peranan sebagai sumber yang boleh dirujuk. Maknanya, keseimbangan untuk melaporkan berita itu akan lebih baik apabila (masing-masing) mempunyai hubungan baik,” katanya.   

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan