PETALING JAYA, 7 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyeru persatuan sukan di seluruh negara agar menganjurkan lebih banyak klinik latihan bagi membangunkan kapasiti atlet dan jurulatih tempatan.
Beliau berkata beberapa jenis sukan yang mendapat sokongan dana sudah memulakan penganjuran klinik sedemikian dan capaiannya akan terus diperluaskan.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada menyediakan dana untuk klinik-klinik itu, namun tidak banyak diuar-uarkan, tetapi ia sudah dimulakan dengan beberapa sukan.
“Saya bagi contoh, sepak takraw dan wusyu tetapi kami akan cari dana yang sama untuk tahun depan supaya terus diperkasakan agar sukan lain juga menerima manfaat seperti itu,” katanya pada sidang media sempena penganjuran klinik skuasy oleh Supreme Squash Club di sini hari ini.
Terdahulu, bekas juara dunia dan pemain legenda Australia David Palmer terlibat dalam klinik skuasy selama empat hari bagi menyokong pembangunan sukan berkenaan di Malaysia, khususnya dalam kalangan jurulatih dan pemain tempatan.
Hannah berkata pendekatan membawa pakar sukan antarabangsa ke dalam negara adalah antara strategi berkesan untuk meningkatkan tahap kemahiran atlet dan jurulatih, terutamanya apabila mereka tidak berpeluang menjalani latihan di luar negara.
Sementara itu, menyentuh mengenai insiden kemalangan maut membabitkan seorang peserta acara kayuhan berbasikal di Jalan Kuala Muda, Langkawi semalam, Hannah mengesahkan penganjuran acara berkenaan telah dikenakan sekatan oleh KBS.
Justeru, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial