BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lebih 2,000 Penduduk DUN Paya Rumput Meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2025

07/09/2025 08:21 PM

MELAKA, 7 Sept (Bernama) -- Lebih 2,000 penduduk memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang berlangsung di pekarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata program julung kali diadakan itu bertujuan merancakkan sambutan bulan kebangsaan dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan masyarakat berbilang kaum dan lapisan umur.

"Penganjuran ini membuktikan semangat perpaduan rakyat di DUN Paya Rumput yang tidak mahu ketinggalan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

“Matlamat kita ialah memastikan semangat cintakan negara terus mekar dalam jiwa masyarakat, selain melahirkan rasa syukur dan bangga menjadi rakyat Malaysia dan kita berhasrat untuk meneruskan sambutan seumpama ini pada tahun mendatang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Antara pengisian program ialah penyertaan lebih 1,300 orang dalam acara Family Fun Run, 140 peserta dalam pertandingan dam aji serta 24 pasukan yang berentap dalam pertandingan permainan konda kondi.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan penyertaan 350 orang dalam pertandingan pakaian berhias dan mewarna, selain pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik yang disertai peserta pelbagai peringkat umur.

Lebih menarik, pelbagai hadiah lumayan termasuk sebuah motosikal dan barangan elektrik ditawarkan kepada pengunjung bertuah, manakala 500 helai kemeja-T percuma diagihkan kepada peserta Family Fun Run terawal yang hadir.

Acara itu mendapat kerjasama Jabatan Penerangan (JAPEN), Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan