BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selangor Lancar PISPPANS, Pastikan Pengurusan Sisa Pepejal Lebih Tersusun

10/09/2025 05:30 PM

SHAH ALAM, 10 Sept (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Pelan Induk Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Selangor (PISPPANS) 2024-2033, antara lain bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih tersusun.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelan induk itu turut menjadi langkah penting kerajaan negeri dalam menjamin pengurusan sisa pepejal lebih tersusun, mampan dan berkesan seiring dengan aspirasi untuk membina negeri yang bersih, lestari dan berdaya huni.

“Dengan pendekatan 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle and Recover), pembangunan Tapak Pelupusan Sanitari Tahap 4, serta pelaksanaan projek Sisa-ke-Tenaga, Selangor akan terus memacu inisiatif kelestarian yang bukan sahaja menjaga alam sekitar, malah meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Bukan itu sahaja, kesedaran juga amat penting iaitu rakyat perlu dididik mengenai cara pengendalian sisa yang betul serta cara pengasingan sisa pepejal di punca,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Majlis peluncuran yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini itu turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim. 

Amirudin berkata dengan usaha bersama itu, Selangor bukan sahaja akan terus menjadi negeri maju, tetapi juga sebuah negeri yang benar-benar selesa dan berdaya huni untuk didiami semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan