BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengakap Malaysia Sertai Jambori Pengakap Muslim Sedunia Di Indonesia

10/09/2025 06:17 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 10 Sept (Bernama) -- Seramai 39 Pengakap Malaysia menyertai Jambori Pengakap Muslim Sedunia di Jakarta Timur bersama 15,333 peserta dari 16 negara dalam perhimpunan global pengakap Muslim pertama seumpamanya.

Jambori ini yang berlangsung dari 9 hingga 14 Sept menggabungkan aktiviti lasak, pendidikan dan perkhemahan untuk memupuk persaudaraan, keharmonian dan keamanan sejagat serta mengeratkan hubungan belia.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur; Malay College Kuala Kangsar, Perak; serta Sri Ayesha Islamic School, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Antara negara lain yang turut serta ialah Oman, Mauritius, Uzbekistan, Azerbaijan, Arab Saudi, Qatar, Brunei, Kuwait, Maldives, Algeria dan United Kingdom.

Ketua kontinjen Malaysia, Ahmad Hafzan Hassan, berkata pihaknya mahu melihat bagaimana jambori pengakap Muslim ini dianjurkan dan memberi pendedahan kepada peserta untuk mengalami sendiri keunikan budaya negara lain.

“Sebelum ini, mereka hanya mengenali budaya luar, terutamanya Indonesia, melalui media sosial. Di sini, mereka berpeluang berinteraksi secara langsung dan memahami lebih mendalam kehidupan masyarakat tempatan dari segi bahasa dan budaya,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, turut diadakan Bengkel Warisan Kebudayaan mengenai batik Indonesia dan persembahan alat musik tradisional Angklung oleh Direktorat Promosi Kebudayaan di bawah Kementerian Kebudayaan Indonesia.

Jambori Pengakap Muslim Sedunia itu dianjurkan sempena sambutan 100 tahun Pondok Modern Darussalam Gontor, antara institusi pendidikan Islam terkemuka di Indonesia dan berlangsung di Tapak Perkemahan Pramuka (Pengakap) Cibubur.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan