BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bursa Malaysia Tegur Ecobuilt, Denda Dua Bekas Pengarah RM200,000 Seorang

12/09/2025 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran awam kepada Ecobuilt Holdings Bhd (ECOHLDS) dan dua bekas pengarahnya berikutan melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Selain itu, dua bekas pengarah berkenaan dikenakan denda sebanyak RM200,000 setiap seorang.

ECOHLDS diberikan teguran awam kerana gagal membuat pengumuman segera berhubung perintah penggulungan bertarikh 24 Julai, 2024 terhadap syarikat berkenaan.

Syarikat itu juga gagal membuat pengumuman segera mengenai rayuannya kepada Mahkamah Rayuan pada 25 Julai, 2024 serta saman dalam kamar untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggulungan pada 26 Julai, 2024 yang difailkan di Mahkamah Tinggi.

ECOHLDS juga didapati memutarbelitkan fakta dalam pengumumannya pada 24 Julai, 2024 dan gagal memastikan pengumuman itu berdasarkan fakta, tepat serta tidak palsu atau mengelirukan.

Dua bekas pengarah pada masa berkenaan iaitu Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Eksekutif Ng Choon Keith dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Ong Chee Koen dikenakan penalti kerana membenarkan ECOHLDS melakukan pelanggaran tersebut.

Ng dan Ong masing-masing menerima teguran awam serta denda sebanyak RM150,000 bagi pelanggaran berkaitan kelewatan dan RM50,000 bagi pelanggaran berkaitan putar belit fakta.

Bursa Malaysia Securities berkata keputusan berkenaan dibuat setelah proses sewajarnya diselesaikan dan setelah mempertimbangkan semua fakta termasuk kepentingan serta kesan pelanggaran tersebut terhadap pemegang saham dan pelabur.

“Bursa memandang serius pelanggaran ini kerana pendedahan maklumat material yang tepat pada masanya, lengkap dan tepat merupakan kunci kepada pasaran yang telus, teratur dan adil,” katanya.

Ia juga mengingatkan ECOHLDS dan ahli lembaga pengarahnya tentang tanggungjawab korporat mereka untuk mengekalkan piawaian yang sesuai serta akauntabiliti kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur.

Pada 24 Julai, 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ECOHLDS untuk menangguhkan petisyen penggulungan dan mengeluarkan perintah penggulungan terhadap syarikat tersebut.

Bagaimanapun, ECOHLDS gagal membuat pengumuman segera mengenai perintah penggulungan itu dan selanjutnya memutarbelitkan kenyataan dalam pengumuman 24 Julai iaitu Mahkamah Tinggi mengarahkan penangguhan petisyen penggulungan berkenaan.

ECOHLDS hanya mengumumkan perintah penggulungan pada 29 Julai, 2024 selepas kelewatan selama tiga hari pasaran dan mengumumkan maklumat lanjut mengenai perintah penggulungan seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia Securities pada 30 Julai, 2024 dan 1 Ogos, 2024.

Walaupun perdagangan sekuriti syarikat digantung pada 9 Ogos, 2024, ECOHLDS tidak disenaraikan memandangkan terdapat rayuan dan permohonan penangguhan.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan perintah penggulungan pada 11 Sept, 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan