SEREMBAN, 11 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas lebih 4,000 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi pelbagai jenama dalam serbuan menerusi Ops Tiris di sebuah kilang di Mantin, semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata turut dirampas ialah mesin membungkus minyak masak botol dan beberapa peralatan pembungkusan serta beberapa dokumen perniagaan yang disyaki digunakan dalam urusan penyelewengan terbabit dengan keseluruhan rampasan melebihi RM400,000.
“Premis berkenaan disyaki menjalankan kegiatan pemindahan minyak masak peket bersubsidi ke dalam botol minyak masak 5 kg pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Susulan itu, dua pekerja lelaki di kilang berkenaan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Zahir meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN WhatsApp ke 019-848 800, aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN, atau Pusat Panggilan 1-800-886-800 sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dengan minyak masak atau barang kawalan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial