KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG.OG) menyatakan keyakinan tinggi untuk merangkul kejuaraan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia buat kali keempat berturut-turut dalam musim baharu yang akan bermula esok.
Ketua jurulatih SRG.OG, Michael Angelo Boccado atau lebih dikenali sebagai Arcadia berkata persiapan rapi telah dilakukan dengan menekankan fokus dan konsistensi bagi mempertahankan kejuaraan.
“Musim ini lebih mencabar kerana banyak pasukan menambah pemain baharu dan kakitangan jurulatih dan setiap pasukan berhasrat untuk melayakkan diri ke siri M, menjadikan musim ini lebih sengit dan kompetitif,” katanya ketika ditemui Bernama sempena pra-pembukaan saingan MPL musim ke-16 semalam.
Daripada segi kekuatan mental, Arcadia percaya pengalaman lalu menjadi aset utama SRG.OG dalam mengharungi tekanan kejohanan.
“Kami merupakan pasukan yang telah melalui pelbagai pengalaman, termasuk berada di puncak kejayaan dan mengalami kekalahan berturut-turut. Jadi, kami tahu apa yang diperlukan untuk mempunyai mentaliti yang kuat.
“Musim ini pasti memerlukan usaha yang tinggi untuk mempertahankan kejuaraan, tetapi kami yakin mampu melakukannya. Kami sentiasa menyasarkan sesuatu yang mampu dicapai dan tahu apa yang diperlukan untuk mencapainya,” katanya.
SRG.OG juga memberi bayangan bahawa mereka telah merangka pelbagai strategi baharu dan bersedia menghadapi perubahan meta permainan yang dijangka berlaku minggu hadapan.
Sementara itu, pemain SRG.OG, Hazziq Danish Mohamad Rizwan atau Stormie, yakin dengan kemampuan pasukannya untuk mengekalkan rekod kejuaraan MPL
“Kami rasa mampu mengekalkannya tetapi tidak mahu terlalu selesa. Kami akan terus berjuang,” katanya.
Sebagai rekod, SRG.OG merupakan pasukan pertama yang memenangi MPL selama tiga musim berturut-turut (ke-13, ke-14 dan ke-15).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial