KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melakar pencapaian cemerlang apabila kesemua kontinjen berjaya menuai pingat pada temasya Sukan Institut Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2025, yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Kontinjen KPT terdiri daripada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM).
Lebih membanggakan, MASUM terus membuktikan kehebatan apabila mengekalkan status juara keseluruhan dengan kutipan 43 pingat emas, 27 perak dan 34 gangsa untuk mengatasi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di tempat kedua (42, 54, 39).
Tempat ketiga menjadi milik MASISWA (32,33,24) sementara MSP (3,4,9) keempat dan MASKOM ketujuh selepas membawa pulang sebutir pingat gangsa.
Secara keseluruhan, kontinjen KPT berjaya memenangi 78 daripada keseluruhan 122 emas yang dipertandingkan dan mengungguli lapan daripada 12 acara iaitu olahraga, hoki lelaki, bola sepak, badminton, memanah, sepak takraw, renang dan bola tampar lelaki.
Atlet lontar peluru kebangsaan yang mewakili MASUM Jonah Chang Rigan turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 18.66 meter (m), sekali gus memadam catatan lama 18.46m, manakala atlet pecut muda Danish Iftikhar Muhammad Roslee memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 100m lelaki dengan masa 10.42s.
Selain itu, perenang MASISWA Hii Puong Wei yang merangkul tiga emas serta memecahkan satu rekod kejohanan dan pemanah compound MASUM Nur Nisa Aliya Muhammad Radzif yang membolot empat emas, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati.
Ketua Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT Dr Hanafiah Ayub berkata penganjuran Kejohanan Sukan Varsiti (VSC) yang mula diperkenalkan pada awal 2025 dilihat telah memberi impak yang sangat berkesan kepada atlet Institut Pendidikan Tinggi (IPT) yang bertanding pada SIPMA 2025.
Beliau berkata format penganjuran yang konsisten amat membantu prestasi para atlet untuk sentiasa berada di tahap yang terbaik.
“Kesan ini dapat dilihat jelas apabila kontinjen MASUM dan MASISWA berjaya menjuarai acara-acara yang turut diberi keutamaan pada VSC termasuk olahraga, renang, memanah, sepak takraw dan bola sepak.
“Kejayaan cemerlang ini turut membuktikan tohmahan segelintir penggiat sukan di negara ini yang pernah menyatakan IPT akan hanya menjadi ‘kubur’ kepada atlet adalah salah,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Sebagai rekod, SIPMA 2025 yang memasuki edisi ke-10 penganjuran berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru dari 1 hingga 7 Sept lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial