BELANJAWAN 2025 > BERITA

Insiden Baling Mercun: PBSNT Panggil Penganjur Liga DUN Terengganu

12/09/2025 02:32 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Sept (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan memanggil pihak penganjur bagi mendapatkan laporan terperinci mengenai insiden baling mercun dan suar pada perlawanan Liga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini pada Rabu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim yang juga Presiden PBSNT berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mendatangkan kecederaan kepada orang awam dan pemain terlibat.

Beliau berkata walaupun pertandingan berkenaan bukan di bawah kelolaan PBSNT, pihaknya tetap akan memanggil pihak penganjur dan mereka yang terlibat bagi mendapatkan laporan dan memberikan nasihat kerana perkara itu boleh memberikan persepsi negatif terhadap sukan bola sepak negeri. 

"Pihak penganjur sewajarnya mengemukakan satu laporan polis supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan siasatan dan seterusnya mencegah perlakuan ganas di tempat awam berhubung dengan insiden itu.

"Mana-mana penganjur acara bola sepak atau sukan lain juga dinasihatkan agar memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kawalan keselamatan perlawanan untuk memasuki stadium," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular video yang memaparkan tindakan segelintir penyokong membaling mercun dan suar pada kejohanan Liga DUN Terengganu yang melibatkan aksi antara Tanjung Sabtu FC dengan Paya Datu FC.

Insiden berkenaan menyebabkan aksi terhenti seketika pada minit ke-82 selepas pengadil dan pemain berlari menyelamatkan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan