BELANJAWAN 2025 > BERITA

Rakuten Trade Naikkan Sasaran FBM KLCI 2025 Kepada 1,650

12/09/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Rakuten Trade Sdn Bhd menaikkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,650 daripada 1,630 bagi 2025, disokong oleh aliran masuk dana asing baharu ke Asia.

Ketua penyelidikannya Kenny Yee berkata dana dijangka kembali ke rantau ini, didorong oleh penilaian  menarik dan asas yang lebih stabil.

“Sentimen perlahan-lahan bertambah baik, dan dengan kemasukan dana asing kembali ke Asia, ia pasti akan meningkatkan sentimen dan menambah faktor positif,” katanya dalam taklimat media secara maya mengenai Prospek Pasaran suku keempat 2025.

Yee berkata dasar Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meningkatkan ketidaktentuan global, dan kesan buruk mula memberi kesan balik kepada AS, yang diperlihatkan menerusi data pasaran pekerjaan yang lemah dalam keadaan ekonomi AS yang mengalami penurunan.

Menurutnya pelabur global mula menyasarkan destinasi lain, dengan Asia khususnya China dan Hong Kong muncul sebagai pilihan utama.

“Bagaimanapun, kami yakin rantau Asia Tenggara mungkin menjadi tumpuan selepas fokus di China-Hong Kong reda.

“Pada masa hadapan, kami menjangka dana asing mempertimbangkan semula Malaysia selepas perhatian terhadap China-Hong Kong berkurangan,” katanya.

Yee berkata pegangan saham asing boleh meningkat antara 25 hingga 30 peratus, yang dengan ketara meningkatkan mudah tunai di bursa tempatan.

Mengenai ringgit, beliau berkata mata wang itu akan mengalami pelarasan semula dan dijangka diniagakan antara 4.00 dan 4.15 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025, disokong oleh ekonomi AS yang semakin perlahan yang boleh mendorong kepada lebih banyak penurunan kadar.

Berkenaan lawatan Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang yang dijangka pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan, Yee berkata sidang kemuncak itu boleh meningkatkan sentimen tetapi kesannya ke atas pasaran saham dijangka terhad.

"Saya berpandangan bahawa perkara-perkara ini lebih kepada memperlihatkan kepentingan ASEAN. Oleh itu, sudah tentu sentimen akan lebih baik, tetapi itu tidak semestinya diterjemahkan kepada prestasi pasaran saham yang lebih tinggi," katanya.

Rakuten Trade menjangka prestasi yang kukuh dalam sektor perbankan, pembinaan, pengguna, telekomunikasi, tenaga, utiliti, dan tenaga boleh baharu pada suku keempat.

Sektor-sektor ini dinilai dengan penarafan ‘wajaran tinggi’ dalam tempoh ini. 

Pilihan utama dalam kalangan saham mewah adalah 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd, AMMB Holdings Bhd, Gamuda Bhd, RHB Bank Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan