KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd secara terbuka telah menegur Fitters Diversified Bhd dan lima pengarahnya kerana melanggar keperluan penyenaraian Pasaran Utama.
Bursa melalui satu kenyataan menjelaskan para pengarah itu terdiri daripada Datuk Sok One a/l Esen, Hoo Swee Guan, Datuk Seri Gan Chow Tee, Wong Kok Seong dan Kho See Yiing. Setiap daripada mereka didenda RM400,000, ini membawa jumlah penalti kepada RM2 juta.
Fitters telah ditegur selepas gagal membuat pengumuman segera pada 7 dan 8 Mac 2023, mengenai satu pengambilalihan oleh anak syarikat milik penuhnya, Fitters Development Property Sdn Bhd. Pengambilalihan itu melibatkan pembelian sebanyak 12.14 juta saham biasa atau 4.54 peratus Computer Forms (Malaysia) Bhd (CFM) pada harga RM26.44 juta tunai dan 6.18 juta unit atau 4.78 peratus Waran A daripada CFM pada harga RM8.33 juta secara tunai melalui pasaran terbuka.
Syarikat itu juga ditegur selepas gagal memastikan bahawa pengumuman mengenai pengambilalihan tersebut, bertarikh 9 Mac 2023, dibuat tepat pada masanya. Kenyataan yang mendakwa pengambilalihan itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham adalah tidak tepat, palsu dan mengelirukan, kata bursa.
Kesemua lima pengarah pada masa berkenaan telah tidak mematuhi keperluan penyenaraian Pasaran Utama dengan membenarkan syarikat itu melakukan pelanggaran.
"Bursa Malaysia melihat pelanggaran ini dengan serius disebabkan keperluan untuk membuat pengumuman segera dan mendapatkan kelulusan pemegang saham lebih awal bagi sebarang urus niaga adalah asas untuk membantu para pelabur dalam membuat keputusan pelaburan yang dimaklumkan, selain bertujuan melindungi kepentingan para pemegang saham. Keperluan ini juga akan membolehkan para pemegang saham peluang untuk membuat pertimbangan yang tepat pada masa, urus niaga yang berpotensi memberi kesan buruk terhadap kepentingan mereka," katanya.
Bursa itu turut mengingatkan Fitters dan Lembaga Pengarahnya mengenai tanggungjawab mereka untuk menegakkan standard tanggungjawab serta akauntabiliti korporat yang sesuai kepada para pemegang saham dan orang awam yang melabur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial