BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cheeding Sasar Raih RM51.5 Juta Daripada IPO

12/09/2025 04:36 PM

PETALING JAYA, 12 Sept (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan kejuruteraan utiliti, Cheeding Holdings Bhd menyasarkan untuk meraih RM51.5 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 7 Okt 2025.

IPO tersebut melibatkan terbitan sebanyak 143 juta saham baharu pada harga terbitan 36 sen sesaham.

Daripada jumlah hasil, Cheeding berkata RM2.3 juta atau 4.5 peratus akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, RM3.2 juta (6.2 peratus) untuk memperoleh jentera pembinaan baharu, RM16.2 juta (31.4 peratus) untuk menyediakan bon prestasi bagi projek masa depan, RM24.6 juta (47.8 peratus) untuk keperluan modal kerja dan RM5.2 juta (10.1 peratus) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian. 

Cheeding ialah kontraktor Gred G7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan mendapat akreditasi daripada Tenaga Nasional Bhd, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Tenaga.

Ketua Pegawai Operasi Ng Lam Shein berkata kekuatan syarikat terletak pada kepakarannya dalam talian penghantaran, kerja-kerja pendawaian bawah tanah dan stesen pencawang yang memerlukan ketepatan, keselamatan dan dipercayai.

“Kami membina reputasi kami dengan secara konsisten melaksanakan projek berkualiti tinggi tepat pada masanya dan mematuhi sepenuhnya piawaian pelanggan, mendapat kepercayaan rakan kongsi dalam sektor tenaga dan utiliti.

“Pada masa ini, kami mempunyai kontrak bernilai lebih RM270 juta di seluruh Semenanjung Malaysia, yang menyumbang kepada pengukuhan infrastruktur tenaga negara,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat di sini hari ini.

Ng berkata tahun-tahun mendatang dijangka lebih baik bagi Cheeding berikutan permintaan terhadap  elektrik di Malaysia yang dijangka meningkat dengan ketara.

“Wujudnya pusat data baharu, taman perindustrian dan projek tenaga boleh baharu bermakna grid negara perlu diperluas dan diperkukuh untuk membekalkan tenaga berkapasiti tinggi dan stabil yang diperlukan bagi mengelak kesesakan,” katanya.

IPO dibuka untuk langganan sehingga 5 petang pada 23 Sept 2025.

TA Securities ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan