BELANJAWAN 2025 > BERITA

SEA Trail Alliance Perkukuh Profil Serantau Di Peringkat Global

13/09/2025 03:44 PM

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- “Southeast Asia (SEA) Trail Alliance", sebuah inisiatif serantau yang baharu dilancarkan, bersedia mengubah landskap larian denai dan meletakkan rantau ini di peta global.

Menghimpunkan acara terkemuka dari Malaysia, Indonesia dan Thailand, inisiatif ini bertujuan mewujudkan satu platform bersatu yang memaparkan acara “premier ultra-trail” di rantau ini, di samping membangunkan ekosistem larian denai yang mampan serta inklusif.

Syarikat pengurusan acara sukan Malaysia, BOLT menerajui usaha itu dengan bekerjasama Mountain Marathon Festival Indonesia dan TAK Trail Series Thailand bagi meningkatkan profil antarabangsa untuk acara larian denai di Asia Tenggara.

Pengasas merangkap Pengarah Urusan BOLT, Hazemi Hamidi berkata pakatan itu diwujudkan bagi meningkatkan kualiti dan penganjuran larian denai di rantau ini sejajar dengan perkembangan pesat sukan terbabit.

“Adalah sangat penting untuk kita bekerjasama sebagai satu rantau dan menunjukkan kepada dunia apa yang Asia Tenggara mampu tawarkan.

“Di Malaysia, kita ada hutan tropika yang indah, Indonesia mempunyai gunung berapi yang menakjubkan dan Thailand memiliki bukit, gunung serta hutan yang subur.

“Apabila digabungkan, ia menampilkan kepelbagaian landskap luar biasa yang boleh kita tonjolkan kepada dunia,” katanya kepada Bernama.

Dengan perancangan mewujudkan kalendar larian denai bersatu yang mampu menarik pelari elit dan rekreasi, SEA Trail Alliance menandakan kesediaan Asia Tenggara muncul sebagai destinasi utama global untuk larian denai dan pelancongan lasak.

Hazemi berkata visi pakatan ini melangkaui sukan, menjadikan rantau ini sebagai hab yang menggabungkan cabaran fizikal dengan budaya.

“Kami mahu melihat bukan sahaja peserta dari Asia, tetapi juga pelari dari Eropah, Timur Tengah dan rantau lain datang ke sini untuk menempuh laluan kami,” katanya.

BOLT sebelum ini berjaya menganjurkan beberapa acara unggul termasuk Cameron Ultra (CULTRA), satu daripada tiga perlumbaan kelayakan di Malaysia untuk UTMB dan Western States Endurance Run, yang menarik lebih 2,000 pelari dari 40 negara setiap tahun.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan