BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Kutuk Serangan Israel Ke Atas Enam Negara

13/09/2025 03:37 PM

ISKANDAR PUTERI, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan biadab rejim Zionis yang semakin bermaharajalela melakukan serangan ke atas enam negara.

Perdana Menteri berkata tindakan itu menunjukkan betapa agresif dan tidak berperikemanusiaan rejim berkenaan yang disokong secara terbuka oleh kuasa besar dunia.

“Satu negara boleh biadab dengan begitu rupa, dalam seminggu dua menyerang enam negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Anwar berkata Malaysia akan menegaskan dukungan kepada perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk keganasan dan kebiadaban Zionis yang tidak berperikemanusiaan pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang akan diadakan di Doha, Qatar pada Isnin ini (15 Sept).

Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat menghadiri beberapa acara rasmi diatur di tanah air yang dijadualkan pada esok dan lusa memandangkan beliau perlu menghadiri sidang berkenaan yang disifatkannya sangat penting.

Anwar menerima jemputan rasmi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani untuk menghadiri sidang kemuncak itu bagi membincangkan situasi kritikal di Palestin, khususnya di Gaza.

Media antarabangsa melaporkan Israel melancarkan serangan ke atas enam negara dalam tempoh hanya tiga hari termasuk Qatar, Palestin, Lubnan, Syria, Tunisia dan Yaman.

Ini termasuk serangan dron terhadap sebuah kapal utama Global Sumud Flotila (GSF) di Tunisia serta serangan udara ke atas Doha di Qatar, kononnya menyasarkan kepimpinan politik Hamas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan