BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tabung Kasih@HAWANA Berjaya Bantu 500 Pengamal Media Seluruh Negara

15/09/2025 11:49 AM

GEORGE TOWN, 15 Sept (Bernama) -- Tabung Kasih@HAWANA berjaya membantu 500 pengamal media di seluruh negara sejak inisiatif itu diperkenal pada 2023 di bawah Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Wartawan Kwong Wah Yit Poh, Choo Kar Chun, 44, menjadi penerima ke-500 bagi sumbangan itu yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di kediamannya di Air Itam di sini hari ini.

Fahmi, yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Pulau Pinang sempena sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth esok, meluangkan masa menziarahi Choo untuk menyerahkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan.

Kenyataan HAWANA memaklumkan Choo, penerima ke-22 dari Pulau Pinang dan telah berkhidmat dengan akhbar berbahasa Cina itu sejak 2018, mula mengalami masalah kurang pendengaran pada Oktober 2024 yang sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk berkomunikasi.

“Beliau kini memerlukan alat bantuan pendengaran bagi memudahkan interaksi dalam kehidupan harian serta melaksanakan tugasan kewartawanan,” menurut kenyataan itu.

Turut menziarahi Choo ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita berkenaan Arul Rajoo Durar Raj.

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 menjadi wadah keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap sumbangan pengamal media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan