BELANJAWAN 2025 > BERITA

Trump Optimis Terhadap Rundingan Perdagangan Dengan China, Umum Akan Hubungi Xi

16/09/2025 01:23 AM

ISTANBUL, 15 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin menyuarakan keyakinan terhadap rundingan perdagangan yang sedang berlangsung dengan China di Madrid, sambil mengumumkan beliau akan berhubung dengan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat dan memberi bayangan mengenai perkembangan positif masa depan TikTok, lapor Anadolu Ajansi.

“Mesyuarat Perdagangan Besar di Eropah antara Amerika Syarikat dan China berlangsung DENGAN BAIK! Ia akan selesai tidak lama lagi,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.

Trump berkata satu perjanjian telah dicapai dengan sebuah “syarikat tertentu” yang golongan muda AS “amat teringin  untuk diselamatkan”.

Beliau meramalkan golongan muda akan berasa “sangat gembira” dengan hasil itu, dipercayai merujuk kepada aplikasi media sosial TikTok tanpa menyebut namanya.

Terdahulu, Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent mengesahkan kedua-dua negara “hampir mencapai” persetujuan mengenai TikTok semasa pusingan keempat rundingan di Madrid.

Trump turut berkata beliau akan bercakap dengan Xi pada Jumaat sambil menekankan hubungan kukuh dengan Beijing: “Hubungan ini kekal sangat kuat!!!”

Rundingan yang diteruskan sehingga Rabu ini berlangsung di bawah gencatan tarif terhadap import dari China yang dilanjutkan sehingga November. Sepanjang tempoh itu, tarif timbal balik 10 peratus kekal berkuat kuasa.

TikTok berdepan larangan di seluruh negara berikutan kebimbangan keselamatan negara mengenai kemungkinan perkongsian data dengan Beijing.

Kongres AS meluluskan undang-undang dwipartisan pada 2024 yang menghendaki ByteDance, syarikat induk TikTok dari China, melupuskan operasi AS menjelang 17 Sept -  tarikh akhir yang sudah tiga kali dilanjutkan oleh Trump.

Rundingan ini diadakan ketika terdapat harapan untuk pertemuan bersemuka antara Trump dan Xi pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bulan depan di Korea Selatan.

Trump sebelum ini telah mencapai perjanjian perdagangan dengan United Kingdom, Korea Selatan, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU), selain meneruskan rundingan dengan banyak pihak lain.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan