BELANJAWAN 2025 > BERITA

Alunan Tradisi, Melodi Perpaduan OTM Istana Budaya Bakal Gamatkan Sambutan Hari Malaysia

15/09/2025 01:52 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

BUTTERWORTH, 15 Sept (Bernama) -- Buat julung kalinya, Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya bakal mengalunkan ‘melodi perpaduan’ sempena sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth dekat sini esok.

Membawakan mesej kesatuan dalam kepelbagaian, persembahan OTM dijangka menjadi tumpuan utama menerusi gabungan unik alat muzik tradisional pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India serta etnik Borneo yang disusun dalam format orkestra profesional.

Konduktor atau Pengarah Muzik OTM Mohd Yazid Zakaria, 57, berkata penyertaan pada acara bersejarah itu merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan kepada usaha berterusan memperkasa muzik tradisional dalam mendukung semangat kebangsaan.

“Ini kali pertama OTM terlibat dalam sambutan Hari Malaysia dan kami amat berbesar hati diberi peluang untuk bersama-sama rakyat Malaysia meraikan hari bersejarah ini melalui persembahan muzik yang mencerminkan kepelbagaian budaya di negara kita.

"Seramai 30 ahli muzik daripada pelbagai kaum dan bangsa terlibat dalam persembahan termasuk penyanyi latar, dan kami juga telah menjalankan latihan intensif selama empat hari bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap terbaik," katanya kepada Bernama.

Mohd Yazid berkata kelebihan orkestra itu adalah pada keupayaan pemuziknya membaca notasi dengan baik sekali gus membolehkan jadual latihan lebih tersusun dan efisien.

Beliau berkata OTM juga berpaksikan kepada pendekatan muzik tradisional berbilang etnik dan pihaknya mahu persembahan pada sambutan Hari Malaysia 2025 menjadi cerminan kepada semangat perpaduan yang dibina atas asas kepelbagaian budaya di negara ini.

"OTM menggunakan lebih 30 jenis alat muzik tradisional yang dibahagikan kepada lima seksyen iaitu alat bertali yang digesek seperti rebab, violin dan erhu serta alat bertali yang dipetik seperti gambus, sitar, yangqin, pipa dan sape.

“Selain itu, alat bergong seperti gamelan, kulintangan dan caklempong; alat bertiup seperti seruling dan serunai serta alat perkusi seperti rebana, tabla dan geduk,” katanya.

Berbekalkan pengalaman luas dan komitmen terhadap muzik warisan, Mohd Yazid yang dikenali sebagai orang kuat OTM yakin orkestra itu akan terus memainkan peranan penting dalam memartabatkan seni muzik tradisional dan memupuk semangat perpaduan nasional melalui persembahan berteraskan identiti budaya Malaysia.

Persembahan khas selama 30 minit OTM bakal diserikan lagi dengan nyanyian barisan artis popular tanah air yang mewakili lima kaum iaitu Ella (Melayu), Suki Low (Cina), Roshini Balachandran (India), Rezza Shah (Sarawak) dan Dabra Sia (Sabah).

Persembahan pembukaan sambutan Hari Malaysia tahun ini turut mengetengahkan keunikan kepelbagaian budaya di Pulau Pinang menerusi 'Rentak Tradisi Pulau Mutiara’ yang digarap melalui gabungan tiga seni tradisi ikonik iaitu Joget Joghee, Opera Cina dan Boria.

Ia merupakan karya baharu yang dicipta khas untuk sambutan kali ini dan bakal dipersembah oleh penari Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kumpulan Adikarma (Universiti Sains Malaysia), Kumpulan Tarian India Guru Shri Arul Manikam, Persatuan Opera Teow Chew Pulau Pinang dan Kumpulan Boria Budayasar.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' itu dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Edisi kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan