BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selatan Global Perlu Bersatu Selesaikan Masalah Tanpa Kuasa Besar - PM Anwar

15/09/2025 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara Selatan Global supaya memperkukuh perpaduan dan bekerjasama menyelesaikan cabaran dunia tanpa bergantung kepada kuasa besar.

Anwar merujuk kepada Semenanjung Gaza sebagai contoh jelas ketidakadilan apabila orang awam tidak bersalah dibunuh tanpa sebarang tindakan atau hukuman me ats pelakunya, justeru situasi seperti ini memerlukan tindak balas bersama.

“Gaza adalah contoh nyata. Seluruh dunia boleh mengadu bahawa mereka (Israel) akan terus membunuh bayi, kanak-kanak dan wanita dan terlepas daripada sebarang tindakan.

Jadi, apakah penyelesaiannya? Penyelesaiannya ialah membina persefahaman Selatan Global agar mampu menyelesaikan sebahagian masalah itu sendiri dan tidak bergantung kepada mana-mana kuasa besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama penyampai CGTN, Zheng Junfeng, semasa lawatan kerja  ke China, baru-baru ini.

Anwar berkata multilateralisme semakin tidak diendahkan oleh kuasa besar, maka negara membangun perlu mengambil inisiatif melindungi kepentingan politik dan ekonomi masing-masing.

“Kita faham masalah ini, berapa banyak resolusi pun boleh diluluskan, tetapi ia tetap tidak diendahkan  kerana, tidak seperti perfahaman pada masa lepas bahawa multilateralisme adalah jawapan, kita lihat berkali-kali ia tidak dihormati,” katanya.

Perdana Menteri turut merujuk kepada mekanisme serantau dan global seperti ASEAN, BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) serta inisiatif China sebagai saluran kerjasama.

“Ini adalah ruang yang boleh kita manfaatkan untuk mengurangkan dan mengimbangi sebahagian isu yang mencabar, bukan sahaja dalam politik global tetapi juga dalam kepentingan ekonomi, bagi melindungi kepentingan ekonomi negara-negara ini. Jika tidak, kita yang akan sengsara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan