BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hotline 1155 Tawar Bantuan Tujuh Bahasa Untuk Pelancong Malaysia Di Thailand

15/09/2025 10:52 PM

KOTA BHARU, 15 Sept (Bernama) -- Pelancong Malaysia yang berkunjung ke selatan Thailand sempena cuti sekolah dan sambutan Hari Malaysia disarankan menghubungi talian hotline Polis Pelancong Thailand 1155 yang beroperasi 24 jam bagi sebarang bantuan kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand (Wilayah Ketujuh) Lt Kol Sakarin Anusaman Sakul berkata talian itu menyediakan khidmat dalam tujuh bahasa termasuk Melayu, Cina, India, Arab, Inggeris, Rusia dan Thai serta dikendalikan terus oleh anggota polis pelancong.

Beliau berkata anggota polis pelancong dilatih mengendalikan kes kehilangan dokumen perjalanan, kemalangan, jenayah kecil dan penipuan pelancong, selain bekerjasama rapat dengan imigresen serta agensi penguat kuasa tempatan bagi memastikan keselamatan pelancong antarabangsa.

"Selain talian tersebut, anggota polis pelancong turut ditempatkan di lokasi tumpuan bagi memantau kawasan dan menjamin keselamatan pengunjung, khususnya ketika musim cuti sekolah yang menyaksikan kemasukan pelancong Malaysia yang tinggi," katanya kepada Bernama hari ini.

Sakarin yang berpangkalan di Hatyai berkata lebih 200,000 pelancong Malaysia direkodkan memasuki tujuh wilayah di selatan Thailand sejak cuti sekolah bermula Jumaat lepas, dengan Songkhla, Narathiwat, Pattani dan Yala menjadi antara destinasi utama.

Beliau turut menasihatkan pelancong mematuhi undang-undang tempatan termasuk peraturan had laju di lebuh raya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan