BELANJAWAN 2024

KERAJAAN PERLU TURUNKAN DEFISIT BELANJAWAN KEPADA 3.0 PERATUS ATAU LEBIH RENDAH PADA 2028 - MAYBANK IB

12/01/2024 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan perlu menurunkan defisit belanjawan kepada tiga peratus atau lebih rendah dalam tempoh seawal 2026 atau selewat-lewatnya pada 2028, sejajar dengan pembaharuan fiskal berdasarkan Akta Tangunggjawab Fiskal (FRA), menurut Maybank investment Bank.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank, Suhaimi Ilias berkata kerajaan telah menyatakan akan menumpukan langkah merasionalisasikan subsidi bahan api, barang bersubsidi terbesar dan bantuan sosial di negara ini, dengan tujuan mengurangkan perbelanjaan subsidi sebanyak RM6 bilion.

“Kerajaan tiada pilihan dan saya berpendapat bahawa dari segi pelaksanaan, satu perkara yang sangat nyata dalam pembaharuan fiskal adalah FRA.

“Bagi saya seperti ada faktor dari segi perundangan yang secara asasnya akan meningkatkan kredibiliti tanggapan mengenai pengukuhan fiskal dan pembaharuan fiskal di Malaysia,” katanya semasa Taklimat Media Tinjauan Pasaran 2024 secara maya pada Khamis.

Beliau berkata komitmen yang ditetapkan selain FRA ialah pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU).

“Sudah tentu, terdapat kontroversi dan isu berkaitan integriti data dan keselamatan data namun, saya berpendapat kerajaan hanya perlu menangani isu ini kerana PADU penting untuk mengenal pasti butiran terperinci dalam subsidi bersasar,” katanya.

Suhaimi berkata pengumuman dasar selanjutnya untuk melengkapkan dan membuat susulan terhadap pelan tindakan makro atau gambaran luas, pelan induk dan pelan hala tuju terutama di peringkat sektor atau industri akan dibuat.

“Akta Perolehan Kerajaan (GPA) adalah langkah perundangan utama seterusnya selepas FRA bagi pembaharuan fiskal untuk menambah baik lagi tadbir urus fiskal dan mengetatkan lagi disiplin dan pengawasan dalam kewangan awam,” katanya.

Beliau berkata perkara itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku kedua 2024.

Selain itu, beliau menekankan bahawa dasar gaji progresif akan menjadi agenda utama dalam pembaharuan ekonomi dan penstrukturan semula pasaran tenaga kerja pada 2024.

“Jelas sekali, dasar itu tidak akan dilaksanakan sepenuhnya tahun ini, dengan kerajaan akan menilai program rintis pada Jun hingga September, dan saya jangka pelaksanaan penuh akan dilakukan pada 2025.

“Walau bagaimanapun, saya berpandangan mesej utama mengenai dasar ini adalah kita sudah sampai ke satu tahap untuk kita perlu terus menangani isu kesamaan, kos sara hidup dan simpanan untuk persaraan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan