BELANJAWAN 2024 > BERITA

JANGAN ABAI PERUNTUKAN UNTUK PEMBANGUNAN SUKAN - HANNAH

19/04/2024 01:14 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Kerajaan negeri dinasihatkan untuk tidak 'menganaktirikan' atau menganggap agihan peruntukan bagi tujuan pembangunan sukan tidak penting dalam belanjawan negeri.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata peruntukan itu merupakan pelaburan kerajaan negeri bagi memastikan setiap atlet dapat menjalani sesi latihan di fasiliti yang dibangunkan kerajaan Persekutuan dan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diselenggara.

“Pembangunan sukan melibatkan komitmen kerajaan negeri. Kalau kita lihat untuk penglibatan dalam SUKMA (Sukan Malaysia), kalau kerajaan negeri tidak melabur dan tidak hantar atlet, maka acara boleh digugurkan daripada SUKMA sebab tidak cukup penyertaan dari negeri.

“Untuk sukan itu berjaya, ia bukan bermaksud penglibatan MSN (Majlis Sukan Negara) sahaja, tetapi melibatkan penglibatan di peringkat kerajaan negeri,” katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di sini hari ini.

Hannah berkata demikian bagi mengulas pengumuman pengguguran acara futsal wanita dan terjun 10 meter platform wanita dari SUKMA ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos ini.

Pada 6 April lepas, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata kedua-dua acara itu terpaksa digugurkan kerana kurang jumlah penyertaan.

Menurut Hannah, sokongan dan pelaburan daripada kerajaan negeri dalam sektor sukan amat diperlukan bagi membantu KBS menjayakan setiap perancangan bagi memperkasakan sektor sukan serta atlet negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan